Bomba menyelamatkan wanita berusia 43 tahun patah tangan kiri selepas terjatuh ketika mendaki Bukit Ketumbar, Jalan 6/95B, Taman Cheras Utama, di sini, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Bomba menyelamatkan wanita berusia 43 tahun patah tangan kiri selepas terjatuh ketika mendaki Bukit Ketumbar, Jalan 6/95B, Taman Cheras Utama, di sini, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Wanita berusia 43 tahun patah tangan kiri selepas terjatuh ketika mendaki Bukit Ketumbar, Jalan 6/95B, Taman Cheras Utama, di sini, hari ini.

Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Abdul Razak Deraman berkata, Bilik Kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras terima panggilan kecemasan dari orang awam pada 8.49 pagi sebelum menghantar pasukan ke tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian pada 8.57 pagi, anggota bomba mendaki bukit berkenaan hampir 30 minit untuk sampai di tempat mangsa tercedera.

"Mangsa patah tangan kiri akibat terjatuh semasa melakukan aktiviti mendaki di bukit itu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Razak berkata, mangsa kemudian dibawa turun sebelum dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz.

"Operasi selesai sepenuhnya pada 10.14 pagi dan mangsa diserahkan kepada pihak hospital untuk menerima rawatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 1:40 PM