KAIN rentang  yang  dipasang  MPSepang  memaparkan  pelaksanaan  tempat  letak  Kereta (TLK) berbayar di  pekan Dengkil mengundang  bantahan  penduduk. FOTO SAMADI AHMAD
KAIN rentang yang dipasang MPSepang memaparkan pelaksanaan tempat letak Kereta (TLK) berbayar di pekan Dengkil mengundang bantahan penduduk. FOTO SAMADI AHMAD
Samadi Ahmad


Dengkil: Keputusan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) meluluskan pelaksanaan tempat letak kenderaan (TLK) berbayar di sekitar pekan ini bermula awal tahun depan disifatkan sebagai 'hadiah' tahun baharu membebankan penduduk.

Ahli jawatankuasa soalselidik TLK berbayar Dengkil, Azwan Muhamad berkata, tindakan pihak berkuasa tempatan (PBT) memperkenalkan sistem parkir berbayar dilihat bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) yang tidak mahu membebankan rakyat.

Azwan berkata, tindakan MPSepang itu amat dikesalkan disaat rakyat sedang berhadapan kesusahan akibat pandemik Covid-19.

"Penduduk sudah sedia terbeban dengan pertambahan kos sara hidup ditambah pula dengan arahan mewajibkan membayar pakir setiap kali berurusan di pekan kecil ini," katanya tadi.

Katanya, kajian diadakan mendapati lebih 1,000 penduduk membantah pelaksanaan TLK berbayar itu dan MPSepang perlu menarik semula keputusan berkenaan kerana tidak tepat pada masanya.

"Kerajaan Selangor juga perlu serius melihat isu ini demi kesejahteraan rakyat. Pekan Dengkil hanyalah sebuah kawasan kecil dan tiada keperluan MPSepang mengenakan caj pakir ketika rakyat sedang berhadapan krisis ekonomi," katanya.

Salah seorang peniaga di pekan itu, Adi Salzaimi Salleh, 44, berkata, pakir berbayar itu bukan jalan penyelesaian bagi MPSepang menjadikan pekan ini lebih tersusun dan terkawal.

"Sebaliknya apa yang lebih penting adalah menyelesaikan lambakan kenderaan buruk yang tersadai di kawasan premis perniagaan hingga menyakitkan pemandangan," katanya.

Baru-baru ini MPSepang mengumumkan pelaksanaan parkir berbayar di TLK pekan Dengkil bermula Januari 2021 bagi memastikan perancangan bandar lebih tersusun dan teratur selaras dengan Kajian Reka Bentuk Bandar Dengkil.

Yang Dipertua MPSepang, Datuk Abd Hamid Hussin berkata, cadangan itu sudah diluluskan sejak 2014 dan tidak timbul isu dilakukan secara tergesa-gesa seperti didakwa penduduk.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 4:14 PM