FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Mohd Amin Jalil


Seremban: Peruntukan sebanyak RM1.5 juta disediakan kerajaan negeri bagi tujuan pemberian komputer riba kepada anak-anak negeri ini yang sedang melanjutkan pelajaran di universiti awam, tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Abdul Malek, bantuan itu diserahkan Khamis lalu, menerusi yang dipertua persatuan pelajar anak-anak negeri di setiap universiti.

Katanya, ia bertujuan meringankan beban keluarga dan memudahkan pelajar mengikuti sesi pengajian secara dalam talian susulan penularan wabak pandemik Covid-19.

"Sumbangan komputer riba untuk pelajar di peringkat ijazah itu adalah bagi kemudahan mereka yang memerlukan perkakasan sesuai untuk belajar secara dalam talian.

"Bantuan ini akan dilaksanakan secara berterusan kerana kita masih tidak dapat tentukan bilakah pandemik Covid-19 ini akan kembali reda," katanya tadi.

Mengulas mengenai masalah capaian Internet yang lemah, Mohamad Rafie yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan berkata, pihaknya akui masalah berkenaan yang memberi kesan kepada sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) murid.

Beliau berkata, pihaknya sedang berusaha menangani masalah berkenaan termasuk bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi, Telekom Malaysia Bhd (TM).

"Kerajaan negeri memahami keadaan capaian Internet yang kurang baik di beberapa kawasan dan kita sedang berusaha mengatasinya.

"Selain itu juga terdapat murid yang tidak mempunyai peralatan peranti seperti komputer riba," katanya.

Katanya, ia menjadi antara cabaran utama untuk memastikan setiap rumah mempunyai kemudahan peralatan bagi pembelajaran dalam talian ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 November 2020 @ 4:22 PM