GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Omar Ahmad

Johor Bahru: Terdapat sembilan kluster yang aktif di negeri ini setakat semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R Vidyananthan berkata, setakat semalam juga terdapat sembilan kes baru yang dilaporkan di negeri ini.

Katanya, ia membabitkan enam kes daripada kluster sedia ada iaitu satu kes import dan dua kes daripada lain-lain saringan Covid-19.

"Setakat semalam, terdapat sembilan kluster Covid-19 yang masih aktif di negeri Johor iaitu Kluster Kota Kecil, Kluster Makmur, Kluster Kiambang, Kluster Parit Kassan, Kluster Jeri, Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Padang.

"Pengesanan kontak rapat dan ujian Covid-19 masih lagi giat dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah terbabit.

"Peningkatan kes yang dilaporkan sehingga kini, masih lagi disebabkan pencarian kes secara aktif (ACD) dan aktiviti survelans yang dipertingkatkan bagi mengekang penularan secepat mungkin," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Vidyananthan, pemerhatian aktiviti ACD mendapati kerap berlaku kes bergejala tidak mendapatkan rawatan dengan segera.

Katanya, sekiranya terdapat gejala seperti demam, batuk, sukar bernafas dan lain lagi, dapatkan rawatan dengan kadar segera kerana berkemungkinan dijangkiti Covid-19.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 November 2020 @ 3:17 PM