GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Juwan Riduan

Kota Kinabalu: Seorang bapa layak digelar 'setan' selepas tergamak merogol anak perempuan kandungnya yang berusia lapan tahun sejak Mac hingga Jun lalu.

Lelaki berusia 45 tahun itu dipercayai merogol mangsa sekitar bulan Mac sehingga Jun di rumah sewa keluarga berkenaan di tingkat dua rumah kedai di Inanam, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, kejadian terbongkar selepas mangsa yang dihantar ke sebuah asrama pelajar mengadu kepada penjaga asrama berkenaan.

Menurutnya, mangsa dihantar oleh ibu bapanya ke asrama yang menawarkan tempat tinggal percuma untuk pelajar sejak Julai lalu berikutan keadaan ibu bapanya tidak mempunyai sebarang pekerjaan dan tiada tempat tinggal yang tetap.

"Siasatan awal mendapati, mangsa mengadu dia diganggu secara seksual oleh suspek ketika tinggal bersama keluarganya di rumah sewa berkenaan.

"Malah ketika kejadian berlaku, mangsa dikatakan menjerit meminta tolong namun ibunya tidak dapat membantu kerana lumpuh dan menggunakan kerusi roda," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, siasatan turut mendapati ibu mangsa juga sering dipukul menyebabkan mereka sekeluarga menjadi takut dan trauma kepada suspek.

Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek turut didapati positif dalam aktiviti pengambilan dadah.

"Suspek kini ditahan reman manakala mangsa dirujuk ke Hospital Wanita Dan Kanak-Kanak Sabah (HWKKS) untuk membantu siasatan lanjut bagi proses pendakwaan.

"Siasatan lanjut masih diteruskan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan 10 sebatan maksimum, jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 5:49 PM