Foto hiasan
Foto hiasan
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Peningkatan mendadak kes positif Covid-19 di Lembah Klang dan Selangor kebelakangan ini adalah berkaitan kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sehingga kini terdapat 119 kluster tempat kerja dengan 83 kluster masih aktif dan 36 kluster diisytihar tamat.

"Sejumlah 77,201 individu disaring dan 12,079 kes dikesan positif Covid-19 membabitkan 4,398 kes warganegara dan 7,681 kes bukan warganegara.

"Lima kluster tempat kerja yang mencatatkan kes tertinggi adalah Kluster Teratai dengan 4,036 kes positif Covid-19, Kluster Damanlela (1,539 kes), Kluster Cergas (1,337 kes), Kluster Hentian (1,101 kes) dan Kluster Kaya (900 kes)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan adalah untuk menjaga kepentingan kesihatan dan ekonomi.

Bagaimanapun, katanya, kejayaan strategi itu memerlukan kerjasama majikan bagi memastikan semua amalan pekerjaan dan pekerja sentiasa patuh prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bagi industri yang menggunakan banyak tenaga kerja daripada kalangan bukan warganegara, majikan bertanggungjawab menyediakan tempat kediaman kondusif serta memastikan pekerja mengamalkan langkah pencegahan penularan Covid-19.

"Amalan boleh dilakukan adalah pemeriksaan suhu badan memasuki tempat kerja, penyediaan tempat mencuci tangan, kerap melaksanakan proses pembersihan dan pembasmian kuman, amalan jarak sosial, memastikan pekerja tidak berkumpul di ruang sempit dan elakkan terlalu ramai pekerja bersama pada satu masa," katanya.

Beliau menyeru pihak majikan untuk memainkan peranan lebih besar bagi bersama-sama menangani penularan Covid-19 di Malaysia.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 6:53 PM