GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
BERNAMA

Kuantan: Mayat seorang lelaki Indonesia dengan kesan kelar di leher ditemukan dalam ladang kelapa sawit di Batu 4, Jalan Karak, Mentakab kira-kira 191 kilometer dari sini, hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan berkata, mayat mangsa ditemukan orang awam pada 8.40 pagi yang kemudian memaklumkan polis.

"Siasatan awal mendapati mangsa ialah pekerja kilang papan di Mentakab yang berusia 32 tahun.

"Pemeriksaan dalam ladang juga menjumpai motosikal milik mangsa yang dipercayai dibuang ke dalam lubang di situ," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, pihaknya telah menahan seorang lelaki rakan senegara mangsa yang berusia 43 tahun bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun, hubungan mangsa dan suspek serta motif pembunuhan masih dalam siasatan.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:11 PM