Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Mayat anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 3, Bidor, Perak, Koperal Baharuddin Ramli, 54, yang maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, hari ini dibawa pulang ke Bahau, Negeri Sembilan.

Kerandanya dibawa dengan penuh adat kepolisan sejurus proses bedah siasat selesai pada 6.20 petang tadi.

Terdahulu, mayat mendiang akan dibawa ke Kem Batalion 3 PGA Bidor, Perak untuk diberi penghormatan terakhir sebelum dibawa pulang ke kampung halamannya.

Ketua Polis Kedah, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, proses bedah siasat berjalan hampir empat jam di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini.

MENDIANG Koperal Baharuddin Ramli yang maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand diiringi anggota polis dengan adat istiadat kepolisan untuk dibawa ke Kem Batalion 3 PGA, di Bidor sebelum dibawa ke kampung halamannya untuk disemadikan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
MENDIANG Koperal Baharuddin Ramli yang maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand diiringi anggota polis dengan adat istiadat kepolisan untuk dibawa ke Kem Batalion 3 PGA, di Bidor sebelum dibawa ke kampung halamannya untuk disemadikan. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Beliau berkata, mendiang kemudian dipakaikan dengan pakaian seragam PGA sebelum dimasukkan ke dalam keranda.

"Keranda mendiang kemudian diiringi anggota dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dengan penuh istiadat polis dan perwira negara.

"Mendiang dibawa pulang ke kampung halamannya untuk disemadikan," katanya ketika ditemui di HSB, di sini.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, Baharuddin berdepan dengan kumpulan penyeludup ketum dan ubat batuk sebelum berlaku kejadian berbalas tembakan.

Mangsa maut akibat ditembak pada dada dan perut, manakala rakannya Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut dan kini dirawat di Hospital Pulau Pinang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 7:44 PM