Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Kejadian tembakan di kebun berhampiran kawasan sempadan di Padang Besar adalah insiden kali ketiga berlaku bulan ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, kejadian tembakan berlaku di kawasan berkenaan pada 12 dan 15 November lalu serta terbaru pada awal pagi hari ini.

"Sebelum ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman ada mengadakan mesyuarat bagi mengumpul maklumat mengenai lorong tikus di kawasan sempadan.

"Antara lorong tikus yang dikenal pasti adalah di lokasi kejadian. Kami ada menerima maklumat akan ada aktiviti penyeludupan di lokasi berkenaan antara dua atau tiga hari sebelum kejadian.

"Difahamkan, kegiatan itu membabitkan kemasukan penyeludup dari Thailand ke sempadan negara di lokasi berkenaan untuk mengambil barang," katanya ketika sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Pengarah KDNKA Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar dan Timbalan Pengarah KDNKA Pasukan Gerakan Am (PGA) Datuk Mastor Mohd Ariff.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto Mohamad Shahril Badri Saali
Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador. Foto Mohamad Shahril Badri Saali

"Pada 12 November lalu berlaku insiden tembakan membabitkan anggota bertugas di lokasi berkenaan, namun tiada kecederaan dilaporkan serta satu lagi insiden tembak di lokasi sama tiga hari kemudian.

"Insiden ini sekali gus membuktikan bahawa penyeludup semakin agresif dan marah dengan anggota yang bertugas.

"Justeru, saya mengarahkan Komander PGA Briged Utara Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji untuk mempertingkatkan kawalan di lokasi berkenaan," katanya.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan seorang anggota PGA yang bertugas di pos sempadan Malaysia-Thailand berhampiran Padang Besar, Perlis, maut dipercayai akibat ditembak, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada 3.10 pagi itu, Koperal Baharuddin Ramli, 54, meninggal dunia di lokasi, manakala rakannya, Koperal Norihan A/L Tari, 39, parah.

Enam daripada 13 individu yang disyaki mendalangi serangan bersenjata api terhadap dua anggota PGA berkenaan sudah ditahan pihak berkuasa.

Berita berkaitan

PGA ditembak: Mendiang mahu baiki rumah

2 das tembakan di perut, dada Koperal Baharuddin

PGA ditembak: 'Tak sangka itu gurauan terakhir mendiang'

''Mendiang abang cekal, sangat berani'''

'PGA ditembak: Mendiang dibawa ke Bahau selepas selesai bedah siasat''

'Pemergian Baharuddin kehilangan besar buat negara''

Anggota VAT69 pantau lokasi serangan - KPN'

Anggota PGA maut diserang: KDN arah siasatan menyeluruh'

Ketua Polis Negara sahkan anggota PGA maut ditembak'

'Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA'

'Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 November 2020 @ 9:01 PM