Azlan. FOTO Arkib NSTP
Azlan. FOTO Arkib NSTP
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


Kangar: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man berharap tindakan tegas diambil terhadap penjenayah yang terbabit dalam kes tembakan ke atas anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) di pos keselamatan Malaysia-Thailand dekat Padang Besar semalam.

"Ya, tindakan ini satu perbuatan jenayah (terhadap anggota PGA) yang bertugas menjaga keselamatan.

"Saya dimaklumkan susulan kejadian ini, pihak polis sudah menahan dua suspek, jadi kita nantikan tindakan selanjutnya pihak berkuasa," katanya ketika dihubungi hari ini.

Azlan turut memuji tindakan pantas anggota polis hingga berjaya menangkap dua penjenayah terbabit dalam tempoh yang singkat.

Katanya, beliau menantikan perkembangan positif mengenai kejadian terbabit dari semasa ke semasa.

"Saya ucapkan juga terima kasih kepada pihak berkuasa Thailand yang sama membantu dalam siasatan ini sehingga tertangkapnya sebahagian daripada penjenayah terbabit," katanya.

Dalam kejadian 3.10 pagi semalam, Koperal Baharuddin Ramli, 54, maut selepas terkena dua das tembakan pada dada dan perut, manakala seorang lagi anggota PGA, Koperal Norihan Tari, 39, parah terkena tembakan pada kanan perut.

Sebelum itu, dua anggota PGA yang bersenjatakan pistol Walther P99 sempat melepaskan lebih 10 das tembakan ke arah penyeludup menyebabkan tiga daripada mereka cedera.

Mayat mendiang Koperal Baharuddin dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar bagi proses bedah siasat dan dibawa pulang bagi dikebumikan di kampungnya di Bahau, Negeri Sembilan.

Berita berkaitan

2 das tembakan di perut, dada Koperal Baharuddin

'Mendiang abang cekal, sangat berani'

PGA ditembak: Mendiang dibawa ke Bahau selepas selesai bedah siasat

Pemergian Baharuddin kehilangan besar buat negara

Anggota VAT69 pantau lokasi serangan - KPN

Anggota PGA maut diserang: KDN arah siasatan menyeluruh

Ketua Polis Negara sahkan anggota PGA maut ditembak

Sindiket penyeludupan dipercayai serang anggota PGA

Anggota PGA maut ditembak di sempadan Malaysia-Thailand


Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 9:13 AM