TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
TERTUDUH (tengah) dibawa ke Mahkamah Majistret Seremban. FOTO Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Seremban: Penganggur berdepan hukuman mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Jenayah 1 Seremban di sini, hari ini, atas kesalahan membunuh bapanya, 18 November lalu.

Tan Chee Meng, 38, mengangguk faham selepas pertuduhan dibaca terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret, Naziah Mohd Alias.

Bagaimanapun tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Chee Meng didakwa menyebabkan kematian Tan Yin Fah, 59, yang juga bapanya di Simpang Pertang, Jelebu pada 9.30 pagi, 18 November lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang memakai baju T gelap tiba di mahkamah dengan kenderaan polis pada 9 pagi tanpa diwakili peguam serta ahli keluarga.

Naziah menetapkan 21 Januari 2021 untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Jelebu.

Timbalan Pendakwa Raya diwakili Syarifah Nur Amirah Syed Ahmad Yunus.

Media sebelum ini melaporkan mangsa maut selepas ditikam suspek dipercayai berpunca daripada tindakan Yin Fah menegur Chee Meng leka bermain telefon.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 12:32 PM