BUMBUNG rumah Surhana diterbangkan ribut sejauh kira-kira 50 meter.
BUMBUNG rumah Surhana diterbangkan ribut sejauh kira-kira 50 meter.
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Isha bumbung dah takde!," kata Surhana Harun, 58, nenek kepada Elysha Nur Safia Abdullah, 17, selepas bumbung rumahnya di Kandang, Melaka diterbangkan ribut, petang semalam.

Elysha Nur Safia berkongsi kejadian itu di akaun media sosial miliknya sehingga mendapat perhatian warganet sejak ia dimuatnaik semalam.

Menceritakan semula kejadian yang berlaku petang semalam itu, Elysha Nur Safia berkata, dia dikejutkan dengan dentuman yang kuat ketika hujan lebat.

"Terkejut apabila nenek menjerit memanggil saya dari dalam bilik. Saya ingatkan bunyi itu datang dari pokok kelapa yang tumbang rupanya bunyi petir yang sangat kuat.

"Pada awalnya saya tidak risau disebabkan sudah biasa jika hujan lebat, pasti bekalan elektrik rumah akan terputus.

"Tidak sangka dugaan kali ini luar biasa sehingga bumbung rumah diterbangkan ribut, bahagian siling retak dan beberapa perkakas elektrik rosak akibat dimasuki air hujan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, dia sempat menyelamatkan beberapa barangan peribadi, buku-buku sekolah dan telefon bimbitnya dalam kejadian itu.

"Komputer riba yang saya gunakan bagi tujuan pembelajaran dalam talian juga rosak.

"Sedih perkara ini berlaku apatah lagi saya bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kelak," katanya.

Sementara itu, Surhana berkata, dia ada menternak beberapa ekor itik untuk dijadikan pendapatan tambahan memandangkan sudah tidak bekerja.

"Saya juga sudah uzur, kaki tidak beberapa kuat untuk berjalan jauh dan hanya berharap pada pendapatan suami yang bekerja sebagai pemandu lori sampah.

"Saya masih lagi trauma dengan kejadian yang berlaku, sudahlah hasil ternakan itik saya mati, rumah dan barangan di dalamnya pula hampir 70 peratus musnah," katanya.

Walaupun begitu, Surhana berkata, dia reda dan menerima dugaan yang menimpanya sekeluarga.

"Pada masa kejadian hanya saya dan cucu saja yang berada di rumah.

"Saya berharap ada pihak yang dapat membantu meringankan beban kami.

"Anak-anak saya masing-masing sudah berkahwin dan mempunyai tanggungjawab sendiri yang mana ada antara mereka hanya menyewa dan gaji bulanan dipotong kesan daripada Covid-19," katanya.

Menurutnya, dia sudah membuat laporan polis dan kini tinggal di rumah anaknya sementara menunggu bantuan membaiki rumahnya yang musnah.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan kepada mangsa boleh ke alamat Lot 841-1, Lorong Sidang Hussin 2 Kandang, 75460, Melaka atau hubungi di talian 011-70797765 atau boleh salurkan ke nombor akaun Maybank 101217041428 (Surhana Harun).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:29 PM