HONDA Accord yang baharu dibeli oleh kerajaan negeri didakwa digunakan untuk Exco tular sejak semalam. FOTO tular
HONDA Accord yang baharu dibeli oleh kerajaan negeri didakwa digunakan untuk Exco tular sejak semalam. FOTO tular
Noorazura Abdul Rahman


Alor Setar: Kerajaan Kedah menafikan dakwaan membeli kenderaan baharu bagi kegunaan Ahli Majlis Mesyuarat Negeri (Exco) sebaliknya ia adalah untuk kegunaan pelbagai jabatan kerajaan negeri.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukkan pembelian kenderaan itu diluluskan pada Bajet 2020 yang dibentangkan oleh Menteri Besar sebelum ini (Datuk Seri Mukhriz Mahathir).

Katanya, pembelian 12 Honda Accord dan 11 Toyota Hilux adalah bagi menggantikan kenderaan jabatan yang kebanyakan berusia lebih 10 tahun dan ada yang dibeli pada 2004.

"Ia sudah tidak lagi ekonomi untuk dibaiki kerana kos membaik pulihnya melebihi harga kenderaan itu dan tidak lagi sesuai digunakan untuk perjalanan jauh, jadi ia perlu dilupuskan. "Kereta yang dilupuskan ini milik pegawai daerah Kota Setar, Kuala Muda, Kulim Kubang Pasu dan Pokok Sena.

"Ada juga kenderaan dibeli oleh ketua jabatan selepas pencen, jadi kenderaan perlu diganti selain kita beli pacuan empat roda untuk kegunaan operasi jabatan tertentu seperti Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JHEAIK) bahagian pengurusan halal yang perlu ke merata tempat, ada pegawai kerajaan ini terpaksa guna kereta sendiri dan keluar seawal 4 pagi kerana tiada kenderaan kerajaan," katanya selepas ditemui selepas mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas video dan gambar tular dakwaan pembelian kenderaan baharu untuk kegunaan Exco Kedah sejak semalam.

Muhammad Sanusi berkata, urusan pembelian kenderaan baharu jabatan oleh Pegawai Kewangan negeri bermula sejak awal tahun namun tertangguh disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Beliau berkata, secara kebetulannya, pembelian 23 kereta baharu dilakukan pada bulan ini ketika beliau menjadi Menteri Besar Kedah sekali gus menyebabkan namanya menjadi sebutan.

"Pembelian kenderaan ini adalah secara pukal oleh pegawai kewangan Kedah dengan harga lebih rendah berbanding belian secara sebuah-sebuah, pembekal turut menawarkan pakej selepas jualan lebih baik iaitu penyelenggaraan percuma selama lima tahun, yang mana harga dirahsiakan namun lebih rendah dari harga semasa.

"Jadi ia untuk kereta jabatan bukannya Exco, jadi apa yang tular adalah fitnah semata-mata dan tanggunglah dosa," katanya.

Muhammad Sanusi berkata, semua 23 kereta baharu sudah diserahkan kepada jabatan berkaitan semalam.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi berkata, pihaknya juga akan memfailkan saman terhadap beberapa individu yang memfitnah dirinya termasuk berkaitan pembelian kereta baharu itu.

"Bagaimanapun, saya belum ada maklumat berkaitan bilangan individu akan disaman dan peguam saya akan senaraikan nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 November 2020 @ 4:30 PM