NASARUDIN sedang menyediakan donut untuk minum malam di dapur di atas kapal KM Bagan Datuk ketika bertugas Op Benteng di perairan Selat Melaka. FOTO Mohd Khidir Zakaria
NASARUDIN sedang menyediakan donut untuk minum malam di dapur di atas kapal KM Bagan Datuk ketika bertugas Op Benteng di perairan Selat Melaka. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Kerjaya sebagai tukang masak atau chef di restoran mungkin perkara biasa namun berbeza bagi golongan chef di atas kapal yang sedang berlayar.

Dua anak muda, Nasarudin Abd Talip, 25, dan Nasul Abd Halik, 21, adalah antara anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang ditugaskan memasak serta menyediakan makanan untuk pegawai dan kru kapal KM Bagan Datuk sepanjang penugasan di atas kapal.

Bagi Nasarudin, dia menceburi bidang masakan sejak mula berkhidmat dalam APMM empat tahun lalu.

"Saya melakukan tugas ini kerana minat dengan bidang masakan dan tugas ini lebih mencabar apabila ia dilakukan di atas kapal kerana tidak sama dengan tugas memasak di darat.

"Tugas ini bermula dari menyediakan menu dan membeli barangan mengikut keperluan untuk seminggu atau 10 hari, bergantung arahan penugasan pihak atasan," katanya ketika ditemui di bilik masak kapal KM Bagan Datuk.

Katanya, tugas ini juga semakin mencabar apabila memasak dalam keadaan cuaca buruk.

"Baru-baru ini berlaku cuaca buruk serta laut bergelora. Ketika itu keadaan dapur habis bersepah, barangan bertaburan kerana keadaan kapal dilambung ombak.

"Bagaimanapun kami tetap perlu menyediakan masakan mengikut jadual yang ditetapkan," katanya yang berasal dari Satok, Sarawak.

Sementara itu Nasul berasal dari Sandakan, Sabah berkata, dia semakin sebati dengan tugasan sebagai tukang masak untuk kapal KM Bagan Datuk.

"Saya baru setahun setengah berkhidmat dan semakin serasi dengan tugas diamanahkan untuk menyediakan sajian buat kru kapal semasa dalam tugasan di atas kapal.

"Selain dari menu yang kami berdua tetapkan, kami juga menerima permintaan menu dari kru kapal bergantung bajet yang disediakan ketika membeli barangan makanan," katanya ketika ditemui wartawan semalam.

Katanya, biasanya mereka bangun seawal jam 4 pagi untuk menyediakan sarapan bergantung kepada menu untuk dimasak.

"Kru kapal biasanya sarapan bermula dari jam 7.30 pagi dan kami mula masak untuk tengahari pada jam 10 pagi dan biasanya makan tengah hari bermula jam 12.30 hari sebelum mereka solat Zuhor.

"Makan malam bermula jam 6 petang dan kami turut menyediakan minum malam bermula jam 9.30 malam. Begitulah rutin kami dalam menyediakan juadah mereka sepanjang operasi Op Benteng ini," katanya.

Sementara itu, Pegawai Memerintah Leftenan Komander (M) Nik Mohd Rizam Nik Mohd Fauzi berkata, semua 29 kru kapal termasuk empat pegawai selesa dengan menu yang disediakan tukang masak ini.

"Mereka mempunyai tugas penting dan setakat ini boleh dikatakan semua berpuashati dengan makanan yang disediakan mereka dan setiap menu itu sentiasa berubah setiap minggu.

"Mereka (tukang masak) masih muda tetapi tugasan yang mereka buat setakat ini amat cemerlang dan tiada rungutan dari kru kapal," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 6:57 PM