SARAH Afiqah mempelajari seni silat gayong lebih empat tahun. FOTO ihsan Sarah Afiqah Mohd Fadzil
SARAH Afiqah mempelajari seni silat gayong lebih empat tahun. FOTO ihsan Sarah Afiqah Mohd Fadzil
Murnaena Muhammad Nasir


Kuala Lumpur: "Pada awalnya keluarga tidak menggalakkan saya belajar silat kerana menganggap ia aktiviti yang agak ganas bagi seorang wanita," kata ahli Persatuan Silat Seni Gayong Malaysia (PSSGM) Universiti Malaysia Pahang (UMP), Sarah Afiqah Mohd Fadzil.

Sarah Afiqah, 22, yang juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan (Farmaseutikal) UMP berkata, kini dia sudah lebih empat tahun mempelajari seni mempertahankan diri itu.

"Memang pada awalnya keluarga menentang namun apabila saya terangkan tujuan mempelajari ilmu mempertahankan diri ini, mereka akhirnya faham dan sentiasa memberi sokongan.

"Saya mempelajari ilmu silat ini bukan hanya bermatlamat untuk mempertahankan diri tetapi juga mahu memelihara maruah dan meningkatkan keyakinan diri," katanya.

Anak kelima daripada enam beradik itu berkata, dia masih lagi di peringkat awal pembelajaran pada tahap bengkung Pelangi Hijau iaitu tahap tiga dalam seni silat gayong.

Katanya, pada awal pembabitannya, dia menganggap seni silat gayong hanya sebagai ilmu mempertahankan diri namun selepas mempelajarinya lebih mendalam ianya lebih daripada itu.

"Selain dapat membentuk disiplin dan jati diri golongan muda, ia boleh menjadi suatu riadah.

"Setiap kali latihan pastinya bermula dengan doa manakala penghujung latihan pula dengan tazkirah agama ringkas bagi menyuntik nilai murni dalam diri.

"Suasana pembelajaran itu membuatkan saya lebih dekat dengan Tuhan," katanya.

Sarah Afiqah berkata, seni mempertahankan diri itu masih lagi popular dalam kalangan orang Melayu.

"Saya sendiri terbabit dalam pengambilan ahli baru dan apa yang saya perhatikan masih ramai yang ingin menyertainya.

"Perkara yang membuat saya teruja ialah dapat berjumpa pesilat daripada Perancis, Maghribi dan beberapa negara lain," katanya yang menetap di Bangi, Selangor.

Terdahulu, perkongsian Sarah Afiqah mengenai seni silat yang dipelajarinya di TikTok mendapat perhatian ramai.

Menurutnya, perkongsian itu sekadar mahu membuka mata masyarakat mengenai seni silat yang tidak sepatutnya dianggap aktiviti ganas tetapi sebaliknya membawa manfaat dari segi jasmani dan rohani.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 November 2020 @ 8:32 PM