GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin


Gombak: Polis menahan seorang lelaki, kelmarin, dipercayai terbabit melakukan kegiatan pecah bengkel di Taman Batu Greenwood, di sini, pada 19 November lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita tempatan berusia 39 tahun memaklumkan menyedari bengkel kenderaan milik adiknya dipecah masuk jam 8.45 pagi.

"Ketika pengadu tiba di bengkel berkenaan, dia mendapati pintu masuk bahagian tepi dalam keadaan terbuka dan terdapat kesan umpil disyaki dipecah masuk.

"Dalam kejadian itu, pengadu memaklumkan kehilangan sejumlah wang tunai dan barangan bengkel dianggarkan berjumlah RM7,730," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Arifai berkata, bertindak atas maklumat, pihaknya membuat serbuan di sebuah rumah di Gombak Permai, Batu Caves, di sini, jam 2 petang, semalam.

"Semasa serbuan dilakukan, terdapat tiga lelaki sedang duduk di tepi rumah dan bertindak melarikan diri. Seorang daripada suspek berusia 33 tahun berjaya ditahan di sekitar Pangsapuri Permai, Batu Caves.

"Kami turut merampas satu bateri kereta yang disyaki dicuri dari bengkel pengadu dalam serbuan di sebuah premis di Jalan Stesen, Batu Caves jam 4.30 petang," katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek terbabit dipercayai melakukan kegiatan itu bersama rakannya yang masih bebas.

"Semakan mendapati suspek berkenaan mempunyai lapan rekod berkaitan jenayah dan dadah.

"Suspek terbabit direman selama enam hari bermula hari ini hingga 2 Disember nanti bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

"Usaha mengesan rakan yang masih bebas sedang giat dijalankan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 6:33 PM