Wartawan HM


Kuala Lumpur: Bapa kepada pendakwah selebriti yang ditahan atas dakwaan merogol seorang gadis di sebuah rumah di Shah Alam, September tahun lalu berharap orang luar tidak terus menghukum atau mengkritik anaknya yang sedang berdepan dugaan.

Bapanya yang kini menetap di Kaherah, Mesir itu reda dengan apa yang berlaku dan menyerahkan kes terbabit kepada pihak berkuasa.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Saya yakin Allah SWT sedang menguji kami sekeluarga tidak melebihi daripada had kemampuan hambanya. Sama ada bersalah atau tidak, itu adalah teguran daripada Allah dan tanda sayangnya Allah.

"Hadapi dengan positif dan muhasabah diri. Saya reda dengan apa yang berlaku, seperti yang pernah saya nyatakan sebelumnya. Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan dan menjatuhkan hukuman.

" Hentikanlah sindiran dan kecaman dan berandaian atas ujian ini. Setiap ujian itu datang secara tiba-tiba," katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dia turut mendoakan semoga anaknya tabah dalam menghadapi ujian yang datang.

"Sesungguhnya setiap orang daripada kita ada anak atau keluarga dan sudah disediakan ujian di hadapannya dengan pelbagai rupa dan bentuk yang belum diketahuinya.

"Kita semua tidak sempurna. Hari ini kita nampak hebat dan mulia di mata manusia kerana aib kita belum terbongkar.

"Semoga Allah memberi ketenangan hati buat anak saya dan kami sekeluarga, kerana ketenangan jiwa adalah raja segala kebahagian walau dimana saja posisi kita diletakkan.

"Saya sebagai seorang bapa mendoakan dia tabah dalam menghadapi ujian ini dan jadikan Allah tempat pergantungan sepenuhnya. Sesungguhnya Allah tidak pernah menzalimi hambanya," katanya.

Terdahulu perintah reman terhadap pendakwah selebriti itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah, Mohd Zamir Suhaimee, hari ini.

Berita berkaitan:

  • endakwah selebriti direman lima hari
  • Pendakwah selebriti ditahan polis
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 9:28 PM