MOTOSIKAL yang dirampas.
MOTOSIKAL yang dirampas.
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai aktif melakukan kegiatan samun dan ragut dalam Operasi Cantas di Taman Sri Sinar, Segambut, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek berusia 25 tahun itu ditahan bersama motosikal kira-kira 9 malam itu.

"Hasil soal siasat dilakukan terhadap suspek mendapati dia mengaku terbabit dengan dua kes ragut telefon bimbit di sekitar daerah ini pada hari sama (semalam).

"Kejadian pertama membabitkan seorang lelaki berusia 26 tahun dengan kerugian RM3,000, manakala mangsa kedua adalah seorang lelaki berusia 27 tahun dengan kerugian RM4,000," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Anuar berkata, pihaknya percaya penahanan suspek itu berjaya menyelesaikan beberapa kes ragut di daerah ini.

"Suspek direman selama lima hari bermula hari ini hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

"Kami akan terus kekal fokus bagi memastikan keselamatan orang awam. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung sebarang kejadian jenayah di daerah ini boleh salurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields di talian 03-22979222," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2020 @ 10:01 PM