GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
BERNAMA

Kota Kinabalu: Puspakom Sdn Bhd (Puspakom) Cawangan Sandakan ditutup bermula Isnin ini sehingga ke satu tarikh yang diberitahu kelak berikutan seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Puspakom dalam satu kenyataan memaklumkan kakitangan berkenaan kini sedang menjalani rawatan di sebuah hospital, manakala semua kakitangan lain akan disaring, selain proses pengesanan kontak rapat akan dilaksanakan.

"Mereka yang berhubung secara langsung dengan pesakit sudah diarahkan menjalani kuarantin selama 14 hari," menurut kenyataan berkenaan.

Puspakom memberitahu pihaknya akan mendapatkan nasihat daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kelonggaran pembaharuan permit untuk kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh cawangan berkenaan ditutup.

"Bagi pelanggan yang mempunyai janji temu di Puspakom Sandakan, semua bayaran janji temu pemeriksaan yang telah dibuat akan dipulangkan secara automatik. Sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari semasa ke semasa," katanya.

Dalam perkembangan sama, Puspakom Kota Kinabalu yang sebelum ini ditutup seminggu susulan pandemik itu, beroperasi semula sejak semalam.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 2:40 PM