PENGARAH APMM Negeri Kelantan Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (tiga dari kanan) menerima pelindung muka dan set kelengkapan perlindung diri (PPE) yang disumbangkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK). FOTO IHSAN  UMK
PENGARAH APMM Negeri Kelantan Kapten Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob (tiga dari kanan) menerima pelindung muka dan set kelengkapan perlindung diri (PPE) yang disumbangkan oleh Universiti Malaysia Kelantan (UMK). FOTO IHSAN UMK
Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menyumbangkan 1,300 unit pelindung muka kepada Ibu Pejabat Polis (IPK) Kelantan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan untuk kegunaan pasukan keselamatan berkenaan ketika bertugas di lapangan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Pengarah Kanan Pusat Pengurusan Penyelidikan Dan Inovasi (RMIC) UMK Prof Dr Ahmad Ziad Sulaiman berkata, sebanyak 1,000 unit pelindung muka diserahkan kepada IPK, manakala APMM menerima 300 unit pelindung muka serta 300 set kelengkapan pelindung diri (PPE).

"Projek yang dilaksanakan ini mendapat bantuan dan kerjasama daripada Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi, Pejabat Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) serta agensi luar termasuk Penjara Pengkalan Chepa, Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII) dan Bulan Sabit Merah Malaysia Negeri Kelantan.

"Selain itu, projek ini juga menerima bantuan geran pembangunan inovasi daripada Yayasan Inovasi Malaysia (YIM) dan SME Corp Malaysia menerusi Program Berimpak Tinggi 6 (HIP 6) pada tahun ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Dr Ahmad Ziad, PPE yang disediakan menerusi Projek UMK Care Kit yang diserahkan kepada APMM boleh digunakan ketika anggota daripada agensi berkenaan mengendalikan tahanan asing (tekong dan awak-awak kapal) yang ditahan di perairan Malaysia.

"Keperluan peralatan perlindungan diri amat penting kepada petugas barisan hadapan yang berhadapan dengan risiko jangkitan pandemik Covid-19 sepanjang PKPB yang mula dikuatkuasakan di negeri ini bermula 21 November hingga 6 Disember," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 4:02 PM