SINDIKET pelaburan dalam talian menggunakan bilik hotel di Jalan Bukit Bintang sebagai pusat panggilan diserbu polis. FOTO Ihsan PDRM
SINDIKET pelaburan dalam talian menggunakan bilik hotel di Jalan Bukit Bintang sebagai pusat panggilan diserbu polis. FOTO Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Jadikan bilik hotel sebagai pusat operasi. Itu taktik sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang menyewa 20 bilik hotel di Bukit Bintang, di sini, dengan anggaran sewa sebulan mencecah RM60,000.

Malah tiga bilik terbabit turut dijadikan pusat panggilan dengan lengkap berkomputer bagi menjalankan penipuan mereka.

Bagaimanapun kegiatan mereka terbongkar selepas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menyerbu hotel terbabit jam 6 petang ini dan menahan 29 orang.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas tiga bilik yang dijadikan sebagai pusat panggilan di tingkat tiga.

Menurutnya, dalam serbuan itu, seramai 23 lelaki warga China, lima lelaki tempatan dan seorang wanita tempatan berusia 20 hingga 30-an ditahan.

"Kita turut merampas 40 unit komputer dan 50 telefon bimbit,

"Siasatan mendapati mereka sudah sebulan beroperasi dengan mensasarkan mangsa daripada China," katanya selepas serbuan itu.

Mohamad Zainal berkata, bilik lain yang disewa itu pula dijadikan sebagai tempat tidur mereka.

"Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 November 2020 @ 9:53 PM