Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: "Arwah ada susun manuskrip Panduan Mudah Membaca al-Quran dan minta saya perkemaskan serta jadikan buku.

"Itulah permintaan terakhir arwah pak cik kepada saya. Insya-Allah saya akan tunaikan dan maklumkan kepada anak arwah jika mereka berminat untuk terbitkan," kata Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain.

Wan Ahmad Fauzi adalah anak saudara kepada Dr Wan Hassan Wan Embong, 71, yang maut ditetak perompak dalam kejadian rompakan di Bukit Bandaraya, Bangsar, pagi tadi.

Menurutnya yang juga Profesor Madya Universiti Malaysia Pahang (UMP) berkata, beliau menerima berita kejadian itu daripada ahli keluarga yang menghubunginya jam 5 pagi.

"Kebetulan saya ada di rumah di Denai Alam, Selangor jadi saya terus ke rumah pak cik pagi tadi. Sebaik tiba, jenazah pak cik masih ada di rumah sementara menunggu pihak forensik.

"Manakala mak cik saya yang cedera ditetak sudah dikejarkan ke hospital untuk rawatan segera. Saya dimaklumkan mak cik dalam keadaan stabil," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, mayat arwah dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) jam 7.30 pagi tadi dan bedah siasat dijangka dijalankan pagi esok selepas mendapat keputusan ujian saringan Covid-19.

DR Wan Hassan Wan Embong.
DR Wan Hassan Wan Embong.

Berkongsi mengenai sikap bapa saudaranya itu, Wan Ahmad Fauzi berkata, arwah banyak melakukan kerja amal dan mengajar kelas al-Quran untuk veteran.

"Saya dimaklumkan arwah sempat mengimamkan solat Subuh di Masjid Saidina Abu Bakar, Bangsar semalam. Pak cik memang rajin mengimamkan solat berjemaah apabila diminta sebab beliau pandai mengaji al-Quran seperti arwah ayahnya suatu ketika dulu.

"Kehilangan pak cik pasti amat dirasai seluruh ahli keluarga dan kenalannya. Ramai anak murid mengaji al-Quran beliau turut merasa kehilangannya," katanya.

Katanya, arwah adalah bekas Pengarah Bahagian Teknologi Maklumat Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan mempunyai lima anak termasuk seorang perempuan.

Dalam kejadian jam 3.30 pagi tadi, rumah dihuni mangsa dan isteri Sarifah Yusof, 70, dipecah masuk dua lelaki bersenjata parang.

Suspek yang tidak memakai topeng meminta duit menyebabkan mangsa cuba melawan sebelum ditetak di muka dan leher manakala isteri mangsa ditetak di bahagian bahu kanan.

Berita berkaitan:

  • [Update] Mangsa cuba melawan perompak
  • Maut ditetak perompak
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 1:59 PM