ANTARA rumah penduduk di Kampung Dusun Umbut, Mukim Kenaboi yang belum mempunyai kemudahan bekalan elektrik. FOTO Abnor Hamizam
ANTARA rumah penduduk di Kampung Dusun Umbut, Mukim Kenaboi yang belum mempunyai kemudahan bekalan elektrik. FOTO Abnor Hamizam
Abnor Hamizam Abd Manap


Jelebu: Tiga kampung di Mukim Kenaboi, di sini, bakal menerima bekalan elektrik daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak lama lagi sekali gus mengakhiri penantian selama berpuluh tahun penduduk untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

Menerusi projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB), Kementerian Pembangunan Luar Bandar sudah meluluskan peruntukan berjumlah RM4.1 juta bagi menyediakan kemudahan utiliti berkenaan.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Rosmadi Arif berkata, tiga kampung berkenaan adalah Kampung Chalin, Kampung Dusun Umbut dan Kampung Chuang Lebu yang berada di bawah pengurusan MPKK Kampung Chennah.

Katanya, ketika ini terdapat lapan rumah di Kampung Chalin, 16 rumah di Kampung Dusun Umbut dan sembilan rumah di Kampung Chuang Lebu.

"Buat permulaan, TNB akan melaksanakan projek BELB membabitkan lima rumah di Kampung Chalin, 16 rumah di Kampung Dusun Umbut dan sebuah rumah di Kampung Chuang Lebu.

"Tiga rumah di Kampung Chalin tidak dapat dilaksanakan projek BELB berikutan jambatan yang menghubungkan rumah terbabit sudah runtuh sejak 2019," katanya yang memberitahu masalah itu sudah dimaklumkan kepada kerajaan negeri untuk diperbaiki.

Rosmadi berkata, lapan rumah di Kampung Chuang Lebu pula tidak mempunyai jalan masuk dan perlu dibina jalan sepanjang tiga kilometer terlebih dahulu.

"Ketika ini kebanyakan penduduk menggunakan set solar dan generator bagi mendapatkan bekalan elektrik.

"Projek ini bakal dimulakan pada Mac 2021.

"Memandangkan penempatan di Kampung Chennah sudah terlalu padat, kemasukan bekalan utiliti ini diharap dapat menarik semula waris penduduk untuk tinggal di kampung berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 2:13 PM