KEMALANGAN maut di Kilometer 35.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
KEMALANGAN maut di Kilometer 35.1 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara, malam tadi. FOTO IHSAN PEMBACA
Nurul Amanina Suhaini


Kulai: Seorang remaja lelaki maut dalam kemalangan membabitkan sembilan motosikal dan sebuah kereta di Kilometer 35.1 Lebuhraya PLUS arah utara di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, pihaknya menerima maklumat berlaku kemalangan membabitkan sekumpulan penunggang motosikal dan sebuah kereta Toyota Camry.

Katanya, difahamkan semua motosikal yang terbabit bukan dalam satu kumpulan dan tidak terbabit dalam aktiviti lumba haram.

"Mangsa berusia 19 tahun itu maut di lokasi kemalangan manakala mangsa lain ada yang mengalami kecederaan termasuk yang menerima rawatan di Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim.

"Hasil siasatan awal mendapati, motosikal yang ditunggang mangsa hilang kawalan lalu melanggar bahagian belakang Toyota Camry yang sedang bergerak di lorong kiri," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, lapan motosikal lain dari arah belakang gagal mengelak motosikal mangsa menyebabkan mereka turut melanggar antara satu sama lain," katanya.

Katanya, mayat dibawa ke Hospital Temenggong Seri Maharaja Tun Ibrahim dekat sini, untuk bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 5:37 PM