LEE KIM SHIN
LEE KIM SHIN
Melvin Joni


Kuching: Pembekalan diesel dan minyak masak ke pedalaman Sarawak dibimbangi terjejas susulan keputusan membenarkan hanya kapal tangki 'Double Hull' dan 'Double Bottom' beroperasi di sungai di Malaysia.

Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin berkata, kebimbangan itu berdasarkan maklum balas ketika pertemuannya dengan Persatuan Industri Maritim Sarawak (SAMIN) dan Persatuan Pemilik Kapal Sarawak dan Sabah (SSSA) bagi membincangkan mengenai peraturan baharu berkenaan.

"Kapal tangki ahli SAMIN dan SSSA berperanan membawa diesel dari bandar yang berdekatan untuk dibekalkan kepada masyarakat yang tinggal di hulu sungai yang kebanyakan digunakan untuk penjana kuasa di rumah panjang, klinik, sekolah, pejabat kerajaan termasuk kem pekerja ladang dan pembalakan.

"Sebahagian besar kapal tangki mereka juga membawa minyak sawit dari dermaga sungai khususnya ke pelabuhan dan seterusnya ke kawasan perindustrian untuk tujuan pemprosesan.

"Tetapi kerana pelaksanaan peraturan di bawah Malaysia Shipping Notice (MSN) 16/2020, operasi kapal tangki 'single hull single bottom' ini terjejas teruk," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, terdapat 119 kapal tangki 'single hull single bottom' yang berdaftar dengan Jabatan Laut Wilayah Sarawak untuk beroperasi di sungai dan perairan pesisir Sarawak.

Sehubungan itu, Lee berkata sudah menulis surat kepada Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong untuk mendapatkan pengecualian dan membenarkan kapal tangki 'single hull single bottom' untuk terus beroperasi di kawasan pesisiran pantai dan sungai negeri ini.

"Saya percaya permintaan kami akan mendapat maklum balas segera dan baik daripada Menteri Pengangkutan bagi mengelak gangguan yang tidak perlu terhadap bekalan terutama bahan api yang sangat penting kepada masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman dan pesisir pantai," katanya.

#kw kapal, diesel, minyak masak, bekalan, Sarawak

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 6:29 PM