GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Muhaamad Hafis Nawawi


Kuala Lumpur: Tidak berpuas hati dengan serbuan dan rampasan dilakukan pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak, sindiket penyeludupan mula 'main kasar' dengan mengugut bunuh petugas barisan hadapan negara.

Kejadian itu disedari pegawai JKDM Sarawak yang menemui sepucuk surat dalam sampul bertulis 'death' atau mati dengan tulisan berwarna merah bersama dua butir peluru hidup antara jam 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, 26 November lalu ditinggalkan di tempat letak kereta rumahnya.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Seri Abdul Latif Abdul Kadir berkata, semakan dilakukan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati pada 7.15 malam, 25 November lalu, sebuah kereta berhenti di hadapan rumah pegawai kanan terbabit.

"Seorang individu keluar dari kereta dan didapati mencampak sesuatu ke ruang letak kereta rumah pegawai kastam itu.

"Pegawai terbabit membuat laporan polis selepas menerima ugutan itu," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pada 22 November lalu, dua butir peluru yang diisi di dalam sampul surat dengan nota dijumpai di rumah jiran pegawai terbabit yang berhadapan dengan rumahnya dipercayai akibat tersalah hantar.

"Insiden ugutan yang berlaku dipercayai mempunyai kaitan dengan operasi dijalankan di Pelabuhan Rajang, Sibu dan Pelabuhan Bintulu bermula 21 Oktober hingga 13 November lalu.

"Operasi di kedua-dua pelabuhan itu secara keseluruhannya berjaya menghasilkan nilai rampasan dalam anggaran berjumlah RM2.64 juta dengan anggaran jumlah cukai/duti sebanyak RM655,301.76," katanya.

Katanya, JKDM memandang serius isu berbentuk ugutan atau ancaman ke atas pegawainya yang menjalankan amanah negara.

Dalam perkembangan sama, pihaknya merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana bertindak pantas menyiasat dan menangani isu ugutan jenayah itu sehingga menangkap tiga individu yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Tambahnya, pihaknya akan terus menjalankan amanah menjaga keselamatan dan hasil negara melalui penguatkuasaan yang ketat dan tidak berkompromi dengan ancaman daripada mana-mana anasir yang ingin menganggu gugat kedaulatan serta keselamatan negara.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 8:56 PM