ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh membersihkan kawasan rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Teladas. FOTO Ghazali Kori
ANGGOTA Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh membersihkan kawasan rumah penduduk yang dilanda banjir di Kampung Teladas. FOTO Ghazali Kori
Zaid Salim


Chukai: Kehadiran anggota bomba dan penyelamat di Kampung Teladas, di sini, hari ini, bagi membantu membersihkan lumpur yang memenuhi ruang dan persekitaran kediaman akibat banjir melegakan penduduk.

Lumpur tebal menyebabkan kerja pembersihan sukar dilakukan selain ia memerlukan tenaga yang ramai berikutan banyak barangan dan peralatan seperti perabot, tilam, bantal dan perkakas dapur dipenuhi lumpur.

Penduduk, Aminah Muda, 61, berkata, dia perlu mengambil masa beberapa hari bagi membersihkan lumpur berikutan kotoran itu sangat banyak.

"Rumah saya berada berhampiran sungai menyebabkan lumpur tebal dan memerlukan tenaga.

"Kesihatan saya tidak mengizinkan kerana mengalami masalah lenguh sendi menyebabkan saya tidak mampu membersih sendiri kotoran ini.

"Mujur anggota bomba datang membantu selain anak dan cucu," katanya ketika ditemui di rumahnya, hari ini.

Seorang lagi penduduk, Awang Yahya, 57, berkata, dia menghargai jasa pasukan penyelamat itu kerana membantu meringankan beban penduduk.

"Masa penduduk cemas rumah dilanda banjir, anggota bomba datang membawa penduduk ke pusat pemindahan dan hari ini mereka datang bantu bersihkan rumah penduduk pula," katanya.

Tinjauan mendapati ramai pihak seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berada di kampung berkenaan membantu kerja pembersihan selain menghulurkan bantuan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh, Penolong Penguasa Bomba Mohamad Hanif Che Khalid berkata, seramai 12 anggota dari BBP Cheneh membantu kerja pembersihan menerusi khidmat khas pasca banjir.

"Menerusi khidmat ini kita meringankan penduduk melakukan kerja pembersihan di kawasan kediaman mereka yang dipenuhi lumpur," katanya.

Beliau berkata, kerja pembersihan dilakukan secara bersama dengan beberapa agensi, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan NGO bermula 12 tengah hari hingga 5 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2020 @ 11:22 PM