ANGGOTA bomba mengangkat mayat yang hampir reput di Pantai Tanjung Batu, hari ini. FOTO ihsan bomba
ANGGOTA bomba mengangkat mayat yang hampir reput di Pantai Tanjung Batu, hari ini. FOTO ihsan bomba
Erika George


Bintulu: Orang ramai yang beriadah di Pantai Tanjung Batu, di sini, dikejutkan dengan penemuan mayat lelaki yang terdampar di celah bongkahan batu tepi pantai, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.30 tengah hari itu, mayat yang masih lengkap berpakaian itu ditemui dalam keadaan terlentang dan membusuk.

Jurucakap Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 1.51 tengah hari sebelum mengarahkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu ke lokasi kejadian.

Menurutnya, sembilan anggota BBP Bintulu yang diketuai Pegawai Bomba Kanan 2, Ebu Ding diarahkan ke lokasi kejadian bagi mengangkat mayat terbabit.

"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati mayat terbabit sudah berbau busuk dan hampir mereput. Kita percaya mangsa sudah beberapa hari meninggal dunia," katanya.

Jurucakap itu berkata, pemeriksaan gagal menemukan sebarang dokumen pengenalan diri pada mangsa.

"Mayat dibawa naik melalui jeti pelabuhan pada jam 4 petang dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Mayat kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Bintulu untuk bedah siasat.

Sehubungan itu, orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta berhubung terus dengan polis bagi menjalankan proses pengecaman.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 12:17 AM