ANGGOTA bomba cuba membuka pintu jeriji rumah sebelum mangsa tersedar. FOTO Ihsan Bomba.
ANGGOTA bomba cuba membuka pintu jeriji rumah sebelum mangsa tersedar. FOTO Ihsan Bomba.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Disebabkan tidak membuka pintu rumah hampir sejam selepas diketuk, seorang pemuda disangka sudah meninggal dunia oleh ahli keluarganya.

Kejadian berlaku di Pangsapuri Kenari, Bandar Baru Kangkar Pulai di sini, semalam yang menyebabkan keluarga lelaki berusia 21 tahun terbabit menghubungi pasukan bomba dan penyelamat untuk bantuan.

Bagaimanapun, lain yang berlaku ketika operasi dilaksana apabila pemuda yang disangka meninggal dunia, sebaliknya, hanya 'tidur mati'.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Skudai, Penolong Kanan Penguasa Bomba Mohd Riduan Akhyar berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan mangsa terperangkap dalam rumah pada 10.59 malam.

"Pasukan berkekuatan 10 anggota tiba di kediaman berkenaan dan segera memulakan operasi membuka pintu dengan peralatan khas, namun ketika itu juga mangsa yang didakwa terperangkap tiba-tiba membuka pintu dari dalam.

"Menerusi soal siasat, ibu bapa dan tiga adik mangsa memberitahu keluar ke kuil berhampiran dan apabila pulang, mereka mendakwa hampir sejam mengetuk pintu namun mangsa tidak membukanya.

"Bimbang kejadian buruk dan menyangka mangsa maut, keluarga itu menghubungi talian kecemasan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Riduan berkata, mangsa pula mendakwa terlalu penat menyebabkan dia tidak sedar pintu rumah diketuk.

Susulan itu, pasukan memastikan keadaan selamat sebelum pulang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 11:28 AM