Aminuddin terus berkarya. FOTO ihsan pembaca
Aminuddin terus berkarya. FOTO ihsan pembaca
Hajar Umira Md Zaki


Kuala Lumpur: "Iman akan cuba semampu yang boleh untuk membuat abah tersenyum," kata Nur Najatul Iman Aminuddin, 26 kepada bapanya, Aminuddin Alias, 55.

Demikian kasih sayang dua beranak ini dipaparkan dalam satu video di TikTok baru-baru ini sebelum tular.

Video berdurasi 20 saat itu memaparkan Nur Najatul Iman Aminuddin, 26, meluangkan masa bersama bapanya di sebuah restoran makanan segera kegemarannya tular dan meraih lebih 90,000 tontonan serta 9,000 tanda suka.

Nur Najatul Iman yang lebih mesra disapa Iman berkata, mereka hanya dapat menikmati makanan segera sebulan dua kali sahaja.

"Bapa saya seorang kartunis, tapi selepas nenek jatuh sakit, dia berhenti dan jadi pelukis karikatur bebas.

"Melukis ini kadang-kadang laku, kadang tidak. Tetapi ini tidak menjadi penghalang untuk bapa saya terus berkarya," katanya yang kini bekerja sebagai seorang kerani di sebuah syarikat hiasan dalaman di Kangar, Perlis.

Untuk rekod, Aminuddin dahulu adalah seorang kartunis Majalah Gila-Gila yang dikenali sebagai Nud's Nudin.

Selain daripada Majalah Gila-Gila, antara karya yang pernah dikeluarkan oleh Aminuddin sebelum ini adalah Once Upon a Time, Sembang-Sembang dan Ofis Corner.

Tambah anak sulung daripada lima beradik ini, dia pernah mengikuti bapanya mengutip kotak untuk dijual dan bapanya sentiasa tersenyum membuatkannya tersentuh apabila melihat kecekalan bapanya.

Ditanya mengenai sekiranya Aminuddin masih dikenali, Iman berkata, kebanyakkan individu yang mengenali bapanya adalah penggemar majalah Gila-Gila.

"Sekarang setiap malam kami akan ke Kangar Street Art untuk melukis karikatur wajah, selepas habis kerja saya akan terus ke sana.

"Saya pergi hanya berdua dengan bapa, kerana adik-adik lain bekerja pada waktu malam," katanya ketika dihubungi.

Iman berkata, bakat melukis daripada ayahnya diwarisi dua adik beradiknya manakala dia sendiri lebih kepada menulis puisi.

Katanya, bapanya sentiasa berpesan kepada mereka lima beradik untuk sentiasa bercakap baik kerana hubungan mereka seperti sahabat karib dengan minat yang hampir sama.

Iman berkata, dia tidak menyangka video dikongsinya akan mendapat perhatian ramai kerana hanya merakam saat bapa menikmati makanan kegemarannya.

"Saya tidak sangka ramai yang akan terkesan dengan rakaman berkenaan dan masa itu baru saya dapat tahu, ramai lagi orang yang lagi susah dari saya.

"Biarlah saya tidak mempunyai apa pun setakat ini, asalkan keluarga saya bahagia," katanya kepada Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2020 @ 4:35 PM