DEWAN kuliah kini sepi tanpa aktiviti pembelajaran.
DEWAN kuliah kini sepi tanpa aktiviti pembelajaran.
Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Tidak kenal rakan sekelas dan tidak dapat bergraduasi. Itu pengalaman dilalui penuntut universiti awam apabila terpaksa berdepan dengan norma baharu selepas pandemik Covid-19 melanda negara tahun ini.

Malah, kuliah mereka juga kini sudah beralih arah apabila perlu mengikuti pembelajaran secara dalam talian menerusi sidang video maya yang dilakukan pensyarah.

Penuntut tahun satu Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Farid Ikram Azman, 21, menyifatkan perjalanan kehidupan sepanjang 2020 adalah pengalaman baharu yang perlu dilaluinya.

Dia yang baru menamatkan pengajian peringkat diploma di Politeknik Muadzam Shah di Bandar Muadzam Shah juga tidak dapat bergraduasi.

"Selepas tamat pengajian peringkat diploma pada Februari lalu, saya kemudian menerima tawaran untuk melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Sarjana Muda di UTeM, Melaka.

"Namun, susulan pandemik Covid-19 melanda negara menyebabkan pendaftaran perlu dilakukan secara dalam talian selain kuliah juga dilakukan di dalam talian," katanya.

Penuntut Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pembuatan Reka Bentuk Produk itu berkata, sehingga kini dia tidak pernah bertemu rakan sekuliah serta pensyarah, kecuali mengenali mereka secara maya.

PENDAFTARAN bersemuka pelajar universiti pada awal Oktober lalu terpaksa ditanggguhkan berikutan tercetusnya gelombang ketiga Covid-19.
PENDAFTARAN bersemuka pelajar universiti pada awal Oktober lalu terpaksa ditanggguhkan berikutan tercetusnya gelombang ketiga Covid-19.

"Situasi yang sangat berbeza jika dibandingkan dengan tahun lalu ketika saya belajar di peringkat diploma, tugasan secara berkumpulan yang dilakukan boleh dibuat bersama secara kumpulan.

"Namun, kini tugasan perlu dibuat secara dalam talian, kuliah juga dilakukan menerusi sidang video serta ujian di dalam kelas juga secara dalam talian," katanya.

Menurut Farid, walaupun janggal namun dia terpaksa menyesuaikan diri dan berdepan dengan pelbagai cabaran bagi meneruskan pengajiannya.

"Setiap hari kehidupan saya hanya di dalam bilik, kadang-kadang rasa seperti bukan penuntut universiti kerana terpaksa juga membuat kerja rumah dan membantu ibu bapa.

"Tetapi saya bersyukur kerana dapat bersama ibu bapa, selain dapat berjimat kerana berada di rumah tidak mengeluarkan kos yang banyak," katanya.

Katanya, cabaran lain yang dihadapinya adalah terpaksa berhadapan dengan liputan internet yang tidak stabil.

"Walaupun menggunakan internet berkelajuan tinggi namun kadang kala mengganggu proses pembelajaran kerana sering kali tidak stabil.

"Tetapi, saya amat bersyukur kerana tidak perlu menangguhkan pengajian sekali gus dapat bergraduasi kelak dan paling penting patuh SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 7:00 AM