GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Kerajaan Selangor akan melaksanakan saringan Covid-19 secara bersasar ke atas komuniti di sekitar Meru, Klang, esok.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, saringan berkenaan akan bermula pada 9 pagi hingga 2 petang di Dewan Masyarakat Taman Meru 3.

Katanya, saringan berkenaan akan memfokuskan penduduk di Taman Meru 3, Taman Seri Meru, Taman Bayu dan Taman Desa Permai.

"Pasukan Petugas Khas Selangor untuk Covid-19 (STFC) sudah bermesyuarat berhubung kenaikan kes Covid-19 yang mendadak di Selangor terutama di asrama pekerja kilang Top Glove yang kini dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

"Sidang mencapai beberapa syor yang sesuai dalam rangka mengelakkan penularan wabak ini sekali gus melegakan kerisauan orang ramai berkenaan hal ini," katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, saringan akan dijalankan bersama anak syarikat kerajaan negeri iaitu SELCARE; Pejabat Kesihatan Daerah Klang dan badan bukan kerajaan Imam Response & Relief Team (IMARET).

Katanya, buat pertama kali, sistem Langkah Masuk Dengan Selamat (Selangkah) akan digunakan untuk pendaftaran dan memuat naik keputusan saringan.

Bagi melancarkan proses pendaftaran, orang ramai diminta membuat pra-pendaftaran terlebih dahulu melalui https://screening.selangkah.my.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPD di asrama pekerja Top Glove disambung sehingga 14 Disember berikutan masih terdapat kes positif Covid-19 baharu direkodkan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini sebanyak 5,805 ujian saringan terhadap pekerja kilang dilaksanakan dan merekodkan 3,406 kes positif.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 9:58 AM