Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Sidang Dewan Rakyat petang ini kecoh apabila Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan Komoditi Willie Mongin dikatakan menunjukkan isyarat lucah kepada pembangkang.

Ia bermula selepas Ahli Parlimen Puncak Borneo itu selesai menggulung peringkat jawatankuasa Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan 2021) peringkat kementeriannya.

Susulan itu, RSN Rayer (Dap-Jelutong) meminta Speaker Datuk Azhar Azizan Harun mengambil tindakan ke atas tindakan itu mengikut tatacara parlimen.

Katanya, tindakan itu dilihat oleh 10 orang ahli parlimen pembangkang dan menyifatkannya menghina wanita.

Di dalam penjelasannya, Willie memaklumkan dia tidak melakukannya dan ia disalah anggap oleh pembangkang.

"Saya tegaskan ia tidak benar dan mungkin mereka tersalah nampak, saya tidak menunjukkan jari tengah.

"Tetapi jika mereka beranggapan sedemikian, saya rela meminta maaf," katanya.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen pembangkang bangun dan membantah jawapan itu selain meminta tindakan lanjut diambil.

Azhar kemudiannya menangguh persidangan sehingga esok.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:15 PM
Sidang Dewan Rakyat. FOTO ihsan Parlimen
Sidang Dewan Rakyat. FOTO ihsan Parlimen