Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. FOTO DANIAL SAAD
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow. FOTO DANIAL SAAD
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang tidak akan berputus asa untuk mendapatkan keyakinan Kerajaan Pusat dalam usaha mendapatkan pinjaman bagi melaksanakan projek Transit Aliran Ringan (LRT) Komtar-Bayan Lepas di negeri itu.

Walaupun permohonan mendapatkan pinjaman serta jaminan berjumlah RM2 bilion bagi membiayai projek itu ditolak sebanyak tiga kali oleh Kementerian Kewangan, namun kerajaan negeri mempunyai beberapa pilihan kewangan lain bagi membiayai projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri akan terus mendapatkan keyakinan kerajaan pusat untuk memberi keutamaan terhadap pembiayaan projek LRT serta layanan setimpal kepada Pulau Pinang.

"Ini kerana Pulau Pinang adalah negeri yang terus memainkan peranan penting dengan menjuarai aspek pelaburan langsung asing (FDI) sektor pembuatan negara sekali gus mewujudkan ribuan peluang pekerjaan bukan hanya kepada rakyat negeri ini, malah juga utara Semenanjung Malaysia.

"Kenyataan ini sudah dikongsi dan disampaikan kepada Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed pada sesi perbincangan berhubung peruntukan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) kepada Negeri Pulau Pinang di ibu negara, Khamis lalu.

"Malah, perkara serta pendirian sama turut dinyatakan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika menghadiri sesi dialog Konsultasi Belanjawan 2021: Pulau Pinang anjuran Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) pada 8 Ogos lalu dan Sesi Libat Urus Penyediaan RMK-12 bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 2 Ogos 2019 di negeri ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Menurutnya, terdahulu bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan menerusi suratnya kepada kerajaan negeri bertarikh 1 Oktober 2019 bahawa bon-bon oleh kerajaan negeri berhubung projek berkaitan akan dijamin oleh kerajaan.

"Berikutan itu, kerajaan negeri amat kesal apabila permohonan pinjaman ditolak walaupun projek berkaitan adalah begitu penting terhadap pembangunan ekonomi negeri," katanya.

Kerajaan Pusat baru-baru ini memutuskan untuk membatalkan pinjaman RM2.4 bilion dengan sebuah bank serantau, yang perlu dijaminnya bagi membiayai projek LRT Pulau Pinang.

Tengku Zafrul dilaporkan berkata, sekiranya perkara itu diteruskan kerajaan akan menanggung beban fiskal yang akan mempengaruhi usaha untuk memulihkan ekonomi yang terkesan kerana pandemik Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 4:39 PM