Abdul Rahim (kanan) dan Mohd Ali mengecat warna ungu perahu gentian kaca di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Abdul Rahim (kanan) dan Mohd Ali mengecat warna ungu perahu gentian kaca di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah dekat Alor Gajah. FOTO Hassan Omar
Hassan Omar


Alor Gajah: Nelayan di Melaka akur perlu mengeluarkan kos antara RM300 hingga RM400 untuk mematuhi peraturan baharu Jabatan Perikanan Melaka supaya perahu mereka dicat dengan warna ungu.

Bagi mereka, walaupun kos agak tinggi, ia tetap dipatuhi kerana mereka mahu berdepan tindakan undang-undang oleh pegawai penguat kuasa jabatan itu ketika berada di tengah laut.

Mereka menyifatkan peraturan baharu itu bukan masalah besar, terutama bagi nelayan baharu memperoleh lesen perahu daripada jabatan itu selepas menunggu lebih 10 tahun untuk mendapatkannya.

Abdul Rahim Azali, 34, berkata dia mengeluarkan kos RM300 untuk mendapatkan 10 kilogram cat ungu khusus untuk perahu gentian kacanya yang baharu diberikan lesen perahu, minggu lalu.

"Cat itu tidak dijual dalam tin, sebaliknya peniaga bahan binaan menjualnya dengan cara menimbangnya dengan harga RM30 sekilogram dan saya membeli 10 kilogram untuk memastikan perahu saya dicat ungu.

"Alhamdulillah, minggu lalu saya mendapat lesen perahu daripada Jabatan Perikanan negeri selepas mengemukakan permohonan lebih 10 tahun lalu dan membuat beberapa rayuan," katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah, dekat sini, hari ini.

Dia berkata, cat untuk bahan gentian kaca lebih mudah dan cepat kering berbanding cat biasa, tetapi harganya lebih tinggi berbanding cat biasa.

Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata dia mengeluarkan kos RM300 bagi menukar cat perahunya daripada biru kepada ungu untuk mematuhi peraturan baharu Jabatan Perikanan.

"Tidak mengapa saya mengeluarkan kos itu asalkan dapat turun ke laut mencari rezeki untuk isteri dan anak," katanya.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Perikanan negeri, Mohd Fauzi Solehon dilaporkan berkata, perahu nelayan berdaftar di seluruh Melaka diwajibkan diwarnakan ungu menjelang 2022 bagi memudahkan langkah penguatkuasaan undang-undang berkaitan operasi nelayan dan sumber perikanan.

Ia dipilih bagi membezakan perahu nelayan di negeri ini dengan negeri lain, selain memudahkan penguatkuasaan undang-undang oleh Jabatan Perikanan negeri.

Nelayan diwajibkan mewarnakan perahu masing-masing dengan warna itu mulai sekarang bagi memastikan warna perahu di seluruh negeri ini mampu diseragamkan menjelang 2022.

Ini kerana setiap negeri mempunyai satu warna yang ditetapkan untuk memudahkan perahu dikenal pasti berasal dari negeri mana, selain memudahkan pihak berkuasa membuat penguatkuasaan dan pemantauan di laut dan dalam usaha memelihara sumber perikanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 5:16 PM