Pencarian secara 'surface searching' yang dijalankan pasukan bomba di hari ke-2, hari ini.
Pencarian secara 'surface searching' yang dijalankan pasukan bomba di hari ke-2, hari ini.
Oleh Erika George


Bintulu: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) warga emas yang dipercayai terperangkap di dalam kereta terjatuh dari Jeti Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sebauh di sini, diteruskan hari ini.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Bahagian Bintulu, Timbalan Penguasa Bomba Christus Buson berkata, operasi hari kedua mensasarkan kawasan sehingga satu kilometer ke hulu dan hilir sungai bermula jam 8 pagi tadi.

Katanya, pihaknya menggunakan teknik pencarian secara permukaan bagi mengetahui kedudukan kenderaan terbabit.

"Kita turut menggunakan khidmat empat penyelam profesional daripada bomba dan Pasukan Polis Marin (PPM)," katanya ketika dihubungi.

Menurut Christus, faktor arus air sungai yang deras menjadi cabaran terbesar dalam menjalankan kerja mengesan kedudukan kereta Toyota Corolla terbabit yang dipercayai dihanyutkan ke hilir sungai.

Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam semalam, kereta dipandu Entering Junggai, 61, dipercayai terjunam ke dalam dasar Sungai Batang Kemena selepas terjatuh dari Jeti JKR.

Saksi kejadian ternampak kereta terbabit dilihat berhenti di pinggir jeti berkenaan sebelum membelok ke kanan dan terjunam ke dasar sungai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Disember 2020 @ 6:32 PM