ORANG ramai kelihatan beratur di sepanjang laluan premis untuk berurusan di pejabat  KWSP Cawangan Kluang. FOTO Adnan Ibrahim.
ORANG ramai kelihatan beratur di sepanjang laluan premis untuk berurusan di pejabat KWSP Cawangan Kluang. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


Kluang: Pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengenai pengoperasian semula cawangannya semalam, menyebabkan ada ahli yang beratur di luar premis itu seawal 8 pagi, hari ini untuk berurusan.

Noraini Sahid, 37, berkata, dia menyangka dengan hadir sebelum waktu operasi akan memudahkannya urusan, sebaliknya lain yang berlaku.

"Saya sudah berbaris 40 minit namun belum dapat masuk untuk berurusan. Ketika saya tiba, ramai orang yang sudah beratur menunggu giliran.

"Saya hanya mahu mengeluarkan penyata sahaja. Pengurusan KWSP perlu pertimbangkan untuk menambah kaunter atau alternatif lain agar mengelak orang menunggu dan berkumpul di sini," katanya ketika ditemui di cawangan KWSP di sini.

Maklum mengenai kemudahan dalam talian namun, katanya, bukan semua pencarum berkemahiran menggunakan sistem itu atau mempunyai i-Akaun.

Turut menunggu, Nur Ishak Abd Rahim, 26, yang memberitahu beratur hampir sejam sebelum dapat berurusan disebabkan jumlah ahli menunggu yang ramai.

Katanya, dia bimbang risiko penularan Covid-19 disebabkan orang yang ramai dan cenderung mengabaikan penjarakan fizikal ketika beratur menunggu giliran.

"Pihak KWSP perlu ambil langkah elak orang ramai beratur panjang begini. Bukan hanya untuk memudahkan urusan kami tapi secara tidak langsung membantu mencegah penularan Covid-19. Kita tidak tahu siapa pembawa," katanya.

Dalam pada itu, pengurusan KWSP Cawangan Kluang belum dapat dihubungi untuk sebarang kenyataan.

Berita berkaitan

Cawangan KWSP buka seperti biasa mulai esok

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 11:13 AM