12 pengusaha tanaman jagung manis rugi lebih RM250,000 apabila tanaman jagung diusahakan mereka di Kampung Alor Ketitir musnah ditenggelami banjir. FOTO ZAID SALIM
12 pengusaha tanaman jagung manis rugi lebih RM250,000 apabila tanaman jagung diusahakan mereka di Kampung Alor Ketitir musnah ditenggelami banjir. FOTO ZAID SALIM
Zaid Salim


Marang: Banjir melanda Terengganu Selasa lalu memusnahkan 476,000 pokok jagung diusahakan penduduk Kampung Alor Ketitir, di sini.

Semua pokok ditanam di atas tanah seluas 11 hektar milik 12 pengusaha tanaman itu musnah ditenggelami air mengakibatkan kerugian lebih RM250,000.

Rata-rata mereka melahirkan rasa sedih memandangkan kejadian berlaku ketika pokok berkenaan sedang berputik dan menunggu masa untuk dituai.

Halim Mohd Noor, 50, berkata, dia terkejut apabila melihat kawasan kebun jagungnya yang sebelum itu menghijau bertukar menjadi tasik selepas ditenggelami air separas satu meter.

Katanya, semua jagung itu sepatutnya dituai pada awal bulan ini dan berikutan kejadian itu, dia berputih mata apabila 34,000 pokok jagung miliknya musnah mengakibatkan kerugian RM24,000.

"Sedih apabila melihat semua pokok jagung menjadi kering dan mati. Bagaimanapun saya reda kerana pokok ini mati disebabkan bencana alam dan menganggap apa yang berlaku adalah ujian Allah.

"Mungkin Allah mahu menggantikan kami dengan rezeki lain yang lebih baik," katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Alor Ketitir, hari ini.

Menurutnya, dia mengusahakan kebun berkenaan sejak 30 tahun lalu dan sepanjang tempoh itu, lima kali kebun berkenaan ditenggelami air pada musim tengkujuh.

Katanya, pada musim tengkujuh setiap tahun kampung itu dinaiki air, tetapi hanya separas 0.5 dan tidak sehingga merosakkan tanaman, tetapi tahun ini air naik mendadak berikutan hujan lebat berterusan.

Pengusaha lain, Wan Mohd Zani Wan Jusoh, 54, berkata dia yang mengusahakan tanaman itu di atas tanah seluas 0.8 hektar turut kerugian selepas kebunnya ditenggelami air sehingga paras 1.3 meter.

Katanya, banyak kerugian dialami dan berharap kerajaan dapat menghulurkan bantuan bagi membolehkan semua yang terjejas menanam semula tanaman selepas musim tengkujuh.

"Kami memerlukan modal untuk memulakan semula tanaman dan kebiasaannya sebahagian hasil diperoleh pada Disember akan dibuat modal, tetapi akibat kejadian ini, kami sangat memerlukan bantuan kerajaan," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Air Putih, Rosli Othman berkata, pihaknya memahami kesusahan dialami pekebun dan berusaha untuk menyelesaikan masalah mereka.

"Saya sudah mengajukan permohonan bantuan kepada pihak berkaitan dan berharap kerajaan dapat membantu semua pekebun terjejas bagi memulakan semula tanaman pada tahun depan.

"Terdapat 12 penduduk mengusahakan tanaman jagung di kampung ini dan mereka adalah generasi kedua selepas mengambil alih daripada orang tua masing-masing," katanya.

Rosli berkata, selain jagung, ada penduduk mengusahakan tanaman tembikai, namun mereka bernasib kerana masing-masing baru mengutip hasil sebelum kebun ditenggelami air.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 4:55 PM