MASIDI (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
MASIDI (gambar fail). FOTO Arkib NSTP
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Masidi Manjun membayangkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Sabah yang dijadual tamat 6 Disember ini mungkin disambung lagi.

Beliau berkata, walaupun Sabah sudah mula mencatat penurunan kes baharu positif Covid-19 sejak beberapa hari lalu, ia kekal dalam lingkungan tiga angka yang disifatkannya sebagai masih bahaya.

"Kita masih dalam lingkungan yang bahaya. Tiga angka kes harian positif Covid-19 ketika ini tidak membuatkan kita merasa selesa, lebih-lebih lagi masih ada turun naik kes.

"Malah, angka ini sepatutnya mengingatkan kita supaya terus mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," katanya pada sidang media harian perkembangan Covid-19 Sabah, di sini, malam ini.

Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada PKPB di Sabah yang dijadualkan tamat pada 6 Disember ini akan ditamatkan atau sebaliknya.

Masidi berkata, berdasarkan statistik Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, kes positif Covid-19 di Sabah masih menunjukkan turun naik iaitu daripada 441 kes pada 27 November lalu kepada 476 kes (28 November), 290 kes (29 November), 326 kes (30 November), 267 kes semalam dan 229 kes hari ini.

Katanya, kerajaan meneliti pelbagai aspek termasuk ekonomi dan situasi semasa kes jangkitan Covid-19 di Sabah dalam beberapa hari menjelang tamatnya tempoh PKPB.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Jabatan Kesihatan Negeri Sabah akan membuat penilaian dan analisa mengenai situasi semasa Covid-19 di negeri ini dan memberikan nasihat berhubung perkara itu kepada kerajaan negeri.

"Keputusan sama ada untuk melanjutkan atau menamatkan PKPB mahupun melaksanakan sebarang bentuk langkah kawalan lain akan mengambil kira kepentingan semua sektor tertakluk kepada nasihat KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.

Mengulas lanjut, Masidi bagaimanapun berkata, jika PKPB diteruskan, kerajaan boleh melonggarkan beberapa syarat atau SOP mengikut situasi semasa.

"Jika situasi di Sabah bertambah baik sepanjang minggu ini, mungkin kita boleh melonggarkan syarat PKPB seterusnya," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2020 @ 8:44 PM