PETUGAS perubatan Sultan Johor memberi rawatan awal kepada mangsa kemalangan. FOTO Ihsan RPO.
PETUGAS perubatan Sultan Johor memberi rawatan awal kepada mangsa kemalangan. FOTO Ihsan RPO.
Omar Ahmad


Johor Bahru: Pasukan perubatan peribadi Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, memberikan rawatan kecemasan kepada seorang mangsa kemalangan jalan raya berhampiran Jalan Pasir Pelangi di sini, hari ini.

Ketika kejadian 7.30 pagi, anggota paramedik bersama juruteknik perubatan kecemasan itu dalam penugasan mengiringi baginda dan memberhentikan ambulans sebaik melihat kemalangan, untuk memberikan rawatan segera.

Menerusi hantaran terbaharu di Facebook Sultan Johor, baginda bertitah, sentiasa mengingatkan pasukan berkenaan supaya menghulurkan bantuan jika melihat mereka yang memerlukan.

"Saya pesan kepada mereka, semasa bertugas mengiringi jika berlaku apa-apa kemalangan kepada orang awam, segera membantu dan juga berikan bantuan yang sewajarnya.

"Dalam keadaan sebegini, lupakan saya, segera bantu mereka yang memerlukan bantuan," titah baginda.

Mangsa yang dipercayai mengalami kecederaan di kepala akibat kemalangan itu kemudian dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk rawatan lanjut.

Ambulans peribadi Sultan Johor dilengkapi dengan pelbagai aspek klinikal seperti mesin bantuan hayat, alat defibrilator luaran automatik (AED) dan mesin bantuan pernafasan automatik, selain peralatan untuk rawatan luka kebakaran dan asas kemalangan jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 11:00 AM