RABIES
RABIES
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Seorang lelaki dilaporkan meninggal dunia akibat penyakit rabies selepas mempunyai sejarah digigit anjing liar ketika memburu di hutan, dua tahun lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa berusia 58 tahun itu pada mulanya dimasukkan ke Hospital Lundu pada 19 November lalu kerana mengadu sakit dan lemah badan selama tiga hari.

Katanya, mangsa turut mengadu sakit tekak dan mengalami kesukaran untuk makan dan minum sebelum dipindahkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) pada 21 November lalu kerana mendapati tahap kesihatannya bertambah teruk.

"Beliau meninggal dunia pada 25 November lalu dengan diagnosa rabies meningoencephalitis. Diagnosa disahkan dengan ujian makmal positif rabies oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada tarikh sama.

"Kementerian Kesihatan (KKM) mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mangsa pernah mempunyai sejarah digigit anjing liar pada dua tahun lalu, namun tidak mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan.

Beliau berkata, mangsa membela lima anjing, tetapi anjing berkenaan disahkan negatif rabies oleh pihak Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak.

Menurutnya, mangsa meninggal dunia itu adalah antara dua kes baharu rabies dalam kalangan manusia dikesan di Sarawak menjadikan jumlah keseluruhan kes berkenaan di negeri itu pada 2020 meningkat kepada lapan kes.

"Satu lagi kes adalah kanak-kanak lelaki berumur tiga tahun dengan sejarah digigit anjing di bahagian muka pada 2 November lalu.

"Beliau terus dimasukkan ke Hospital Bau untuk menerima suntikan immunoglobulin rabies (RIG) dan vaksin anti rabies. Kes dibenarkan discaj dalam keadaan sihat pada 6 November.

"Bagaimanapun, pada 13 hingga 15 November lalu kanak-kanak ini mengalami demam panas, lemah anggota badan, kurang selera makan, gelisah, hidrofobia dan menunjukkan tingkah laku agresif," katanya.

Dr Noor Hisham berkata susulan itu, kanak-kanak itu dimasukkan ke HUS pada 16 November untuk rawatan lanjut dan disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal dilakukan IMR pada 25 November.

Beliau berkata, kanak-kanak itu sedang dirawat di HUS dan dalam keadaan stabil.

"KKM mendoakan kanak-kanak ini segera pulih seperti sedia kala. Anjing menggigit kanak-kanak ini adalah haiwan peliharaan jirannya.

"Dia digigit ketika cuba menyelamatkan kucing neneknya yang diserang anjing itu. Anjing ini sudah ditangkap pihak Majlis Daerah Bau pada 3 November 2020 dan disahkan positif virus rabies pada 18 November lalu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, dengan pertambahan dua kes baharu ini, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes dalam wabak rabies di Sarawak yang diisytiharkan pada 31 Julai 2017 adalah 30 kes dengan 28 kematian.

Beliau berkata, hanya dua mangsa masih hidup dan kedua-duanya adalah kanak-kanak dengan sejarah mendapatkan rawatan awal.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 4:21 PM