DR Zulkifli pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan kepada Pegawai Penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
DR Zulkifli pada Majlis Penyerahan Surat Pelantikan kepada Pegawai Penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, hari ini. FOTO Mohd Fadli Hamzah.
SamadiAhmad


Putrajaya: Peserta program realiti agama seharusnya menjaga peribadi dan saling menasihati antara satu sama lain.

"Sebagai pendakwah mereka sering menasihati orang lain dan jarang orang menasihati mereka. Jadi kita perlu sentiasa muhasabah diri dan memperbaiki diri dari semasa ke semasa," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri.

Beliau juga memberitahu kerajaan akan mempertimbangkan untuk mewujudkan garis panduan bagi penganjuran program realiti agama pada masa depan.

Katanya, garis panduan itu akan memberi suatu pemahaman yang baik dan panduan bersyarat bagi penganjuran program berkenaan.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Kepada Pegawai Penyelidik Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di sini, hari ini.

Hadir sama, Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Luqman Abdullah dan Timbalannya, Jamali Mohd Adnan.

Media sebelum ini melaporkan seorang pendakwah selebriti terpalit kontroversi merogol dan mencederakan wanita serta ditahan polis susulan lima laporan dibuat mangsa.

Lelaki berusia 25 tahun itu disiasat mengikut Seksyen 376 ( rogol), 354 (cabul), 377 (seks luar tabii) dan 323 (mencederakan) Kanun Keseksaan.

Mengenai kes itu, Dr Zulkifli berkata, enggan mengulas lanjut kerana kes masih dalam siasatan dan menyerahkan kepada pihak berwajib untuk menentukan sama ada pendakwah itu bersalah atau tidak.

"Sebagai umat Islam kita perlu sentiasa muhasabah diri dan selagi belum disabitkan bersalah, kita tidak boleh menghukum individu terbabit," katanya.

Berita berkaitan

Lima laporan polis terhadap pendakwah selebriti

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:07 PM