KEJADIAN itu berlaku di sebuah kondominium di Island Park. FOTO Audrey Demawan
KEJADIAN itu berlaku di sebuah kondominium di Island Park. FOTO Audrey Demawan
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: "Saya menjerit bagi memberi amaran kepada pemandu dan pejalan kaki itu, tetapi sudah terlewat kerana kejadian berlaku terlalu pantas."

Begitu kata pengawal keselamatan, S Thinagaran, 36, yang menyaksikan kejadian seorang wanita Kim Hui Ping, 49, dirempuh sebuah kereta sebelum terjunam dari ketinggian enam meter di parkir Kondominium Greenlane Park, Solok Tembaga, Jelutong, di sini, hari ini.

Thinagaran berkata, wanita berusia 71 tahun yang memandu kereta Toyota Vios itu dilihat memandu perlahan di kawasan parkir terbabit.

Katanya, ketika mangsa melintas di hadapan keretanya, warga emas terbabit mungkin panik dan menekan pedal minyak sebelum merempuh mangsa dan tembok penghadang.

"Biasanya mangsa akan mencuci kakinya di paip berhampiran sebelum menaiki kenderaannya dan ketika itu, dia baru sahaja mencuci kaki sebelum dirempuh kereta itu.

"Saya juga terdengar mangsa menjerit sebelum diam," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, di sini.

Dalam kejadian pada jam 11.54 pagi itu, mangsa disahkan maut di tempat kejadian manakala pemandu warga emas yang tersepit mengalami kecederaan dan sakit di bahagian dada.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pemandu kereta terbabit secara tidak sengaja terlanggar mangsa yang melintas di hadapannya ketika melalui selekoh parkir berkenaan.

"Pemandu terbabit dipercayai tertekan pedal minyak sebelum melanggar mangsa lalu merempuh tembok penghadang parkir.

"Rempuhan kuat itu menyebabkan kenderaan terbabit terjunam dari ketinggian enam meter dan menghempap mangsa serta sebuah lagi kenderaan," katanya lagi.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:42 PM