Kuala Selangor: Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Mahdzir Khalid, hari ini, meluangkan masa menziarahi keluarga juruteknik TNB yang meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya, semalam.
Mahdzir berkata, beliau sedih dan simpati susulan kemalangan meragut nyawa Ahmad Anwar Raspan, 34.
"Saya amat sedih dengan kejadian itu dan berharap seluruh ahli keluarga bersabar dan mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
"Pemergian Allahyarham adalah satu kehilangan kepada TNB," katanya selepas menziarahi keluarga Allahyarham di Ijok, di sini.
Media melaporkan Ahmad Anwar maut selepas motosikal ditunggang dihimpit kereta sebelum terjatuh lalu digilis lori sejauh 10 meter di Jalan Puncak Alam menuju ke Meru, Klang.
Dalam kejadian 8.30 pagi itu, Allahyarham dipercayai dalam perjalanan menuju ke tempat kerjanya.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan dua anak berusia tiga dan tujuh tahun.