Al Sultan Abdullah berkenan menyantuni ibu bapa Mohd Loqman Hamka yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang. FOTO Ihsan Istana Negara.
Al Sultan Abdullah berkenan menyantuni ibu bapa Mohd Loqman Hamka yang dilaporkan hilang di Sungai Pahang. FOTO Ihsan Istana Negara.
BERNAMA

Temerloh: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berkenan mencemar duli meninjau dan menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) Mohd Loqman Hamka, 20, yang dipercayai terjatuh ke dalam Sungai Pahang di Kampung Tebing Tinggi di sini, sejak seminggu lalu.

Turut mengiringi keberangkatan tiba Seri Paduka di lokasi SAR ialah tiga anakanda iaitu Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah; Tengku Arif Bendahara Tengku Muhammad Iskandar Ri'ayatuddin Shah dan Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah.

Seri Paduka turut berkenan menyantuni ibu bapa mangsa, iaitu Hamka Abu Bakar, 62, dan Rohaya Ismail, 57, yang berada di lokasi kejadian sebelum mendengar taklimat operasi yang dipersembahkan oleh Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Wan Mohammad Zaidi Wan Isa.

Sebaik sahaja selesai taklimat, Al-Sultan Abdullah bersama tiga anakanda berkenan menyertai operasi SAR selama hampir sejam bermula 3.10 petang dengan menaiki bot bomba dari lokasi mangsa dipercayai terjatuh hingga hampir dua kilometer ke hilir sungai.

Dalam kejadian 27 November lalu, Mohd Loqman dipercayai terjatuh ke dalam sungai itu selepas memaklumkan keluarga mahu memeriksa rawai ikan sekitar 9.30 pagi, sebelum kehilangannya disedari beberapa jam kemudian apabila rakannya menjumpai bot milik keluarga mangsa hanyut.

Al Sultan Abdullah bersama Tengku Hassanal (kanan) menaiki bot menyertai SAR mangsa di Sungai Pahang. FOTO Ihsan Istana Negara.
Al Sultan Abdullah bersama Tengku Hassanal (kanan) menaiki bot menyertai SAR mangsa di Sungai Pahang. FOTO Ihsan Istana Negara.

Hamka berkata, Loqman boleh berenang dan biasa memeriksa rawai ikan selain anak bongsu daripada empat beradik itu banyak membantunya menjaga sangkar ikan patin yang diusahakan sejak 12 tahun lalu.

Dia juga amat terharu dengan keprihatinan Al-Sultan Abdullah sehingga tidak putus-putus mengucapkan ucapan menjunjung kasih kepada Seri Paduka dan anakanda kerana sudi mencemar duli bertemu mereka sekeluarga.

"Sudah seminggu kami berada dalam keadaan susah hati kerana anak masih tidak ditemui, sedangkan sudah lebih 20 mayat orang lemas di Sungai Pahang saya angkat sepanjang saya berkhidmat sebagai anggota polis di sini," katanya.

Hamka berkata, Seri Paduka turut menitipkan kata-kata semangat supaya mereka sekeluarga bersabar dan tabah menghadapi ujian Allah SWT.

"Saya terharu ramai yang membantu. Pasukan keselamatan dan orang kampung sudah seminggu membantu kami di sini. Kawan-kawan saya juga bergilir menunggu di hilir sungai sebagai persediaan jika anak timbul dan dihanyutkan arus ke sana," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 5:59 PM