JAMBATAN Kedua Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
JAMBATAN Kedua Pulau Pinang. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kerajaan Pulau Pinang memohon Majlis Keselamatan Negara (MKN) tidak melanjutkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan tamat tiga hari lagi di negeri itu.

Sebaliknya, agensi keselamatan itu dapat mempertimbangkan supaya ia hanya dilaksanakan di lokasi bersasar iaitu membabitkan mukim atau lokaliti yang terkesan akiabt Covid-19 sahaja.

Ia berikutan Pulau Pinang mengharapkan keputusan yang baik dapat dilaksanakan bagi mengimbangi aspek kesihatan awam serta pemulihan ekonomi yang terkesan akibat penularan pandemik terbabit.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri Pulau Pinang (JKKNPP) yang berlangsung, hari ini membuat ketetapan supaya MKN dapat mempertimbangkan cadangan yang diberikan.

"Dalam mesyuarat itu membuat ketetapan supaya MKN mempertimbangkan PKPB hanya dilaksanakan di lokasi bersasar iaitu membabitkan mukim atau lokaliti yang terkesan sahaja.

"Cadangan ini akan dibawa oleh MKN Pulau Pinang ke Mesyuarat Sidang Khas MKN yang dijadualkan berlangsung esok dan mengharapkan keputusan yang baik," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) melaporkan terdapat 14 kluster aktif di negeri ini, setakat semalam.

"Ia merangkumi Kluster Penjara Reman; Kluster Penjara Seberang Perai; Kluster Bayan; Kluster Tembaga; Kluster Permatang; Kluster Intan; Kluster Rengas; Kluster Rajawali; Kluster Beringin; Kluster Intan; Kluster Assumption; Kluster Bayam Indah; Kluster Summer dan Kluster Seri Pasir.

"Pada masa sama, Mukim 12 di daerah Barat Daya dan Mukim 13, daerah Timur Laut sehingga semalam masih berada dalam zon merah, manakala Mukim Georgetown; Mukim 6, Daerah Seberang Perai Selatan; Seberang Perai Tengah dan Seberang Perai Utara dalam zon jingga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 6:24 PM