ANTARA barang tiruan bernilai RM1.5 juta yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP
ANTARA barang tiruan bernilai RM1.5 juta yang dirampas. FOTO Ihsan KPDNHEP
Ekhwan Haque Fazlul Haque


Kuala Lumpur: Sebuah pusat pemborong di Lorong Haji Taib, di sini, diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kuala Lumpur dan merampas barang tiruan bernilai RM1.5 juta.

Pengarahnya Ariffin Samsudin berkata, pemeriksaan lanjut dijalankan mendapati pusat pemborong berkenaan menjual cermin mata dan topi menggunakan perihal cap dagangan palsu dari jenama terkenal.

Menurutnya, serbuan jam 1.30 tengah hari itu dijalankan selepas pihaknya menerima maklumat daripada pemilik cap dagang mengenai kegiatan haram berkenaan.

"Peniaga menjual barangan secara atas talian dan secara borong kepada pelanggan di seluruh Malaysia.

"Serbuan ini berjaya selepas risikan selama seminggu bermula dari maklumat yang diterima iaitu penjualan dijalankan secara atas talian.

"Dalam serbuan sama, kami berjaya mengesan stor penyimpanan yang berada di Jalan Raja Laut serta premis pemborong di Lorong Haji Taib menyita 36,722 unit barangan dengan nilai sitaan dianggarkan RM1.5 juta," katanya, hari ini.

Beliau berkata, siasatan akan dijalankan terhadap peniaga berkenaan mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

Katanya, berdasarkan statistik sebanyak 45 kes tangkapan dijalankan sepanjang 2020 dengan nilai rampasan sebanyak RM4.8 juta.

"Kementerian memberi amaran dan peringatan kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang khususnya membabitkan penjualan dan pengedaran barangan tiruan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 10:43 PM