Mohd Ajib (kanan) dan Hasan (baju putih) bergambar bersama penyumbang di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Ihsan Masjid Wilayah Persekutuan
Mohd Ajib (kanan) dan Hasan (baju putih) bergambar bersama penyumbang di Masjid Wilayah Persekutuan. FOTO Ihsan Masjid Wilayah Persekutuan
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Selepas 20 tahun, karpet Masjid Wilayah Persekutuan di ibu negara ditukar hasil sumbangan pelbagai pihak.

Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail berkata, ia hasil inisiatif Persatuan Sahabat Masjid Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada tokoh korporat dan orang kenamaan.

Menurutnya, ia merealisasikan hasrat pentadbiran masjid yang ingin melakukan transformasi untuk terus menyemarakkan semangat jemaah untuk terus istiqamah memakmurkan rumah Allah itu.

Katanya, kos penukaran karpet itu bernilai RM659,765 itu secara kebetulan kerana ia berlaku ketika penularan Covid-19.

"Wabak ini memberikan banyak implikasi terutama dari segi kewangan, kutipan Jumaat dan sebgainya, tetapi atas inisiatif sahabat masjid sendiri, ia dapat direalisasikan.

"Ia akan meliputi kawasan dewan solat utama dan dewan solat aras atas di tingkat tiga yang mengambil masa selama 12 minggu untuk disiapkan," katanya pada majlis penyerahan sumbangan berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Persatuan Sahabat Masjid Wilayah Persekutuan yang juga Ahli Parlimen Rompin Datuk Hasan Ariffin.

Mohd Ajib berkata, Jawi berharap dengan adanya inisiatif itu, ia akan mengimarahkan masjid terbabit dengan pelbagai aktiviti selepas ini.

"Karpet yang ditukar itu akan diberikan kepada surau Jumaat di dalam Wilayah Persekutuan. Ia masih elok untuk digunakan dan kuantitinya juga banyak kerana saiz masjid ini besar," katanya.

Sementara itu, Mohd Ajib berkata, Jawi juga mengeluarkan arahan pelaksanaan majlis akad nikah pasangan dari zon merah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Katanya, syarat-syarat itu ialah pemohon mestilah menjalani ujian swab dan disahkan negatif.

Selain itu, perkahwinan hanya dibenarkan dijalankan di Jawi Wilayah Persekutuan kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja dan rombongan pemohon adalah terhad kepada keluarga terdekat sahaja.

"Menjadi tanggungjawab kepada Pendaftar di Wilayah-Wilayah Persekutuan untuk memastikan semua pihak terbabit dalam majlis akad nikah mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang dikeluarkan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2020 @ 10:51 PM