RASHID (tengah) ketika menyampaikan replika cek kepada penerima sumbangan dalam Program Kasih Prihatin Parlimen Batu Pahat, di sini. FOTO Essa Abu Yamin
RASHID (tengah) ketika menyampaikan replika cek kepada penerima sumbangan dalam Program Kasih Prihatin Parlimen Batu Pahat, di sini. FOTO Essa Abu Yamin
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: Sesi Persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan tamat pada 15 Disember ini dijangka ditambah dua hari lagi sekiranya sesi perbahasan Belanjawan 2021 berlanjutan.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, pindaan berkenaan selaras Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.

Katanya, berdasarkan peraturan berkenaan, Ketua atau Timbalan Ketua Majlis boleh mengubah tarikh-tarikh yang ditetapkan dari masa ke masa mengikut keperluan tertentu.

"Dijangka Persidangan Dewan Rakyat sebelum ini tamat pada 15 Disember dengan sesi perbahasan Belanjawan 2021 di peringkat jawatan kuasa, namun ia dijangka ditambah untuk pembentangan rang undang-undang," katanya dalam sidang media selepas Program Kasih Prihatin Parlimen Batu Pahat, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batu Pahat menyerahkan bantuan kewangan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), mangsa banjir kilat dan mereka yang terjejas dengan penularan wabak Covid-19 bernilai keseluruhan RM81,500.

Sementara itu, dalam perkembangan lain beliau menafikan mengenai tular di media sosial baru-baru ini bahawa Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal bertanding di Parlimen Batu Pahat.

"Agak mustahil untuk seorang Menteri Kanan bertanding di kawasan yang lain daripada kawasannya sendiri yang sudah pasti mempunyai pengikut dan penyokong setia beliau (Azmin) iaitu di Gombak.

  • Lagi berita berkaitan Belanjawan 2021
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 2:51 PM