KEADAAN banjir di Marang. FOTO BERNAMA
KEADAAN banjir di Marang. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Besut: Seorang warga emas terpaksa mengambil masa selama dua jam memujuk anaknya, seorang kurang upaya (OKU) untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas rumah mereka dinaiki air petang semalam.

Che Supiah Muda, 67, berkata, anaknya Fauzi Abd Halim, 39, yang mengalami kecacatan mental dan buta enggan berpindah walaupun diberitahu rumah mereka yang terletak di Teluk Suda, Kampung Apal di sini, dinaiki air kira-kira 2 petang.

"Dia (Fauzi) tetap duduk di kerusi di dalam biliknya dan tidak mahu keluar walaupun diajak berkali-kali. Dia tidak boleh dipaksa.

"Sekiranya dipaksa dia akan melempar barang dan memukul kita hingga boleh cedera. Pada masa itu, mak cik sudah risau kerana air makin naik dia pula tidak mahu berganjak.

"Selepas dua jam akhirnya mak cik terpaksa menipu dan beritahu mak cik hendak bawanya naik kereta pergi ke Jertih berjalan-jalan. Barulah dia mahu keluar," katanya ketika ditemui Bernama di PPS Dewan Serbaguna Kampung Apal dekat Jabi, di sini hari ini.

Katanya, oleh kerana kawasan rumah mereka dinaiki air sehingga 0.4 meter, Fauzi terpaksa digendong sejauh 40 meter oleh dua penduduk kampung ke jalan besar, sebelum menaiki pacuan empat roda ke PPS Dewan Serbaguna Kampung Apal yang terletak dua kilometer dari rumah mereka.

Che Supiah berkata, dia bersendirian menjaga anak keempat daripada enam beradik itu yang mengalami kecacatan sejak lahir, memandangkan empat anak yang lain sudah berkahwin dan menetap di Kuala Lumpur, manakala seorang lagi sudah meninggal dunia.

"Memang dia tidak boleh menguruskan diri sendiri. Makan pun mak cik suap, mandikan dia, tidur pun mak cik yang dodoikan.

"Ada masa kalau dia mengamuk mak cik lah yang menjadi mangsa dipukulnya. Tetapi tidak apalah sudah Allah lahirkan dia begini mak cik reda," katanya sambil memberitahu anaknya boleh berjalan sendiri namun perlu dipimpin.

Ditanya mengenai keadaan Fauzi sepanjang berada di PPS, Che Supiah berkata, anaknya itu berkelakuan agak tenang namun akan merengek atau marah sekiranya suasana terlalu bising.

Selain anaknya itu, warga emas itu turut menjaga suaminya Abd Halim Hamzah, 66, yang lumpuh tangan kanan akibat serangan angin ahmar kira-kira setahun lalu yang turut berada di PPS itu.

Sementara itu, Aiman Najihah Abdullah, 22, berkata, dia terpaksa mengharungi air sambil mendukung bayinya yang berusia sembilan bulan bagi menyelamatkan diri ekoran banjir yang melanda rumah mereka di Kampung Apal di sini, berlaku secara mendadak semalam.

Katanya, dia tidak menyangka sama sekali air naik dengan begitu cepat pada jam 3 petang, selepas hujan lebat turun selama dua jam.

"Sebelum itu pada tengah hari, saya bersama anak (Ahmad Aiman Zhafran Ahmad Faizul) ke bandar Jertih yang terletak kira-kira 10 kilometer dari rumah membeli barang sebelum adik (Aina Najuwa Abdullah, 20) telefon beritahu rumah naik air.

"Apabila sampai di rumah saya dapati air di halaman mula naik namun hanya paras buku lali. Saya mengemas barangan dan tidak sampai sejam saya lihat halaman rumah sudah seperti sungai jadi kami sekeluarga berjalan ke PPS ini. Tetapi air tidak masuk dalam rumah kerana rumah tinggi," katanya.

Aiman Najihah berkata, ketika mengharungi banjir dia mendukung erat bayinya sambil memegang payung kerana air deras dan cuaca masih hujan.

Ibu muda yang menetap di Kluang, Johor kerana mengikut suami yang bekerja sebagai tentera itu berkata, dia sudah tiga minggu pulang bercuti di rumah ibunya dan tidak menyangka akan mengharungi banjir.

"Kali terakhir rumah banjir seteruk ini adalah pada 2014. Kali ini banjir agak 'pelik' kerana selalunya kawasan Hulu Besut yang akan dinaiki air dahulu tetapi tahun ini kawasan Jabi yang banjir dahulu.

"Selalunya kalau banjir pun air akan naik sikit-sikit tetapi kali ini mendadak sangat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2020 @ 3:24 PM